Friday, June 7, 2013

Jual daging pekasam di laman sosial

ALOR SETAR 6 Jun - Bermula dengan syarikat audit pada tahun 2004, siapa sangka pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an ini mempunyai pelbagai jenis perniagaan hasil usaha yang tidak pernah kenal putus asa.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130607/wu_04/Jual-daging-pekasam-di-laman-sosial
Published: Jun 07, 2013


Pasangan ini turut meluangkan masa menjaga butik barangan ibu 
dan bayi, Whizchini mereka di Alor Setar.

Setelah mempunyai syarikat audit, pengurusan perkhidmatan, fesyen wanita dan lelaki serta kedai menjual barangan bayi, Azli Uda, 34, bersama isterinya, Rini Eswani Mohd. Shariff, 35, kini memberanikan diri menceburi bidang perniagaan makanan dengan menghasilkan daging pekasam.

Azli berkata, dia dan isterinya mempunyai minat yang sama dan setelah terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan, mereka mengambil keputusan untuk meneroka bidang makanan.

Ujarnya, dia mula sedar industri makanan mempunyai prospek besar setelah mengikuti satu seminar mengenai makanan halal di Hatyai, Thailand.

"Pada seminar itu, ada sebuah syarikat membuat penerangan mengenai daging salai dan saya mula terfikir untuk mencipta satu produk makanan baharu berasaskan daging.

"Bila balik daripada seminar itu saya buat kajian untuk buat pekasam daging sebab di Kedah hanya ada ikan yang dijadikan pekasam.

"Akhirnya pada penghujung bulan Disember tahun lepas, setelah mencuba pelbagai resipi akhirnya saya berjaya menghasilkan daging pekasam diperam dengan menggunakan nasi, garam kasar dan asam gelugor," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang enam bulan memperkenalkan daging pekasam ini kepada masyarakat, sambutan diterima menggalakkan.

"Kami memasarkan daging pekasam ini dengan cara dalam talian melalui Facebook dan tempahan yang diterima sehingga dari Kuala Lumpur.

"Daging pekasam ini boleh disimpan hingga setahun di dalam peti sejuk dan cara memasaknya juga mudah iaitu hanya goreng dan ditabur pula dengan bawang, cili serta perahan asam limau ataupun dibuat masak lemak cili padi.

"Buat masa ini kami kehabisan stok disebabkan permintaan yang tinggi dan memang ada sedikit sahaja daging pekasam di dalam simpanan, yang ada dirumah juga semua telah habis," jelasnya.

Katanya lagi, dia dan isteri hanya membuat daging pekasam tersebut selepas kerja-kerja di kedai menjual barangan bayi dan tugas-tugas berkaitan dengan perniagaan mereka yang lain selesai.
"Kami hanya mengupah orang memotong daging, untuk memeram dan membungkus, kami berdua melakukannya sendiri.

"Kami juga dalam perancangan untuk membuka sebuah kilang mini untuk meluaskan lagi pasaran daging pekasam ini," ujarnya yang menjual daging pekasam dengan harga RM6 setiap 100 gram.

No comments: