Friday, June 14, 2013

Perniagaan Francais Malaysia Raih RM23.6 Bilion Pada 2012

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Perniagaan francais Malaysia meraih RM23.6 bilion dalam pendapatan tahun lepas hasil daripada kemajuan perniagaan sistem francais, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=955999
Published: Jun 14, 2013

Beliau berkata sejak diperkenalkan di negara ini 17 tahun lalu, perniagaan francais di Malaysia berkembang dan meningkat sehingga 200 peratus dan menyumbang 2.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kejayaan ini terbentuk hasil dari komitmen, minat dan kesungguhan dari francais-francais ini, selain mendapat sokongan daripada kerajaan yang memberi macam-macam kemudahan termasuk bantuan kewangan dan usaha untuk membuka pintu perniagaan terutama ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Francais Malaysia kali ke-18 di sini Khamis.

Produk francais Malaysia diakui mempunyai kualiti bertaraf antarabangsa sehingga 47 produk francais Malaysia terutama dalam makanan dan minuman berjaya menembusi pasaran 50 negara, katanya.

"Saya mengenali seorang rakyat Malaysia yang telah membuka lebih kurang 50 outlet francais di India sahaja, ini merupakan satu kejayaan dan produk kita telah menguasai pasaran di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Australia," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, negara mempunyai 672 jenama francais yang terdiri dari 70 peratus syarikat tempatan dan 30 peratus dari pelabur antarabangsa.

"Kerajaan mengakui potensi perniagaan francais ini dan tidak teragak-agak untuk menghulurkan segala bentuk bantuan termasuk mempercepatkan proses permohonan kepada hanya tujuh hari dan membuat kajian dari masa ke masa untuk memperkenalkan dana baru bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini," katanya.

Katanya langkah terpenting kerajaan ialah memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) pada tahun lepas bagi tempoh 2012 hingga 2016.

Pelan ini merangkumi aspek untuk meningkatkan daya saing francais Malaysia di dalam dan luar negara termasuk mewujudkan sistem dalam talian pendaftaran francais iaitu Malaysian Franchise Expressway (MyFEX), bagi memudahkan proses permohonan baharu pendaftaran lesen francais, katanya.

-- BERNAMA

No comments: