Thursday, June 20, 2013

Usahawan Wanita Kazakhstan Harap Dapat Belajar Daripada Malaysia

ASTANA (Kazakhstan), 19 Jun (Bernama) -- Usahawan wanita Kazakhstan amat berharap untuk mendapatkan kefahaman tentang perniagaan daripada Malaysia.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=957235
Published: Jun 20, 2013

"Kami menganggap Malaysia sebagai 'harimau' Asia dan bersedia untuk menerima pandangan yang berharga.

"Usahawan wanita Kazakhstan berharap dapat mengembangkan perniagaan dan berminat untuk belajar daripada yang terbaik, khususnya Malaysia, dan tentang inovasi," kata Presiden Persatuan Peniagawati Kazakhstan, Raushan Sarsembayeva.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada Forum Kazakhstan-Malaysia, "Membongkar Potensi Keusahawanan Wanita" di sini, Rabu.

Raushan berkata usaha mendapatkan peluang perniagaan di Kazakhstan semakin luas dan persatuan itu berharap untuk membantu lebih ramai wanita menceburi sektor ini.

Beliau menegaskan bahawa persatuan itu telah melatih kira-kira 2,500 wanita sejak lima tahun lalu, dengan 90 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor-sektor yang ada, manakala selebihnya membuka perniagaan mereka sendiri.

"Kami amat gembira melihat pencapaian mereka dan berharap ini akan meningkat tahun ke tahun," katanya.

Dalam satu perkembangan berkaitan, seorang peserta mengalu-alukan saranan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam ucaptama beliau pada forum itu, bahawa wanita tidak harus membandingkan kejayaan mereka dengan kaum lelaki.

Aizhan Yermekbayeva, 29, yang mengendalikan sebuah pusat pendidikan berkata wanita harus ada pendekatan sendiri dan menggunakan kebolehan unik masing-masing untuk mencapai kejayaan.

Beliau juga berharap dapat bekerjasama dengan universiti-universiti Malaysia yang amat popular dalam kalangan pelajar-pelajar Kazakhstan disebabkan oleh kualiti masing-masing.

Forum sulung itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Peniagawati Kazakhstan dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia dan dihadiri oleh 250 usahawan wanita dari kedua-dua negara.

-- BERNAMA

No comments: