Sunday, June 30, 2013

Promosi keropok lekor Pahang

KEROPOK lekor merupakan makanan ringan popular bagi masyarakat Pantai Timur terutamanya di negeri Terengganu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130628/wp_01/Promosi-keropok-lekor-Pahang
Published: Jun 30, 2013


Seorang pekerja, Fateehah Mohd. Noor (kanan), membuat keropok 
lekor untuk dipasarkan di sekitar negeri Pahang dan Kuala Lumpur 
di kampung Chendor, Pahang.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan dan sagu serta diadun menjadi satu adunan lembut yang kemudian menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

Pada masa kini, pengeluaran keropok lekor bukan lagi tertumpu di kawasan negeri Terengganu malah sudah melangkau di Pahang terutamanya di daerah Kuantan.

Penjualan keropok lekor ini banyak tertumpu di kawasan sepanjang jalan daripada sempadan Pahang dekat Chendor sehinggalah ke Kempadang.

Namun, bagi penggemar tegar makanan berkenaan, keropok lekor yang dihasilkan di negeri lain dianggap tidak dapat menandingi keenakan keropok dihasilkan di negeri itu terutamanya Kuala Terengganu.

Bagaimanapun itu hanyalah persepsi sahaja kerana Terengganu lebih banyak mempromosikan produk ini menyebabkan ia menjadi sinonim dengan negeri itu.

Ini berlainan di negeri Pahang apabila kekurangan promosi kepada industri ini menyebabkan ia tidaklah sepopular keropok daripada Terengganu.

Sedangkan bagi yang telah mencuba keropok lekor buatan Kuantan, ramai yang tidak menyangka, ia lebih enak daripada yang dijual di Terengganu.

Justeru, saya amat berharap kerajaan negeri memajukan industri ini dan mempromosikan sebagai salah satu tarikan pelancongan ke daerah ini.

Ia bukan sahaja menambahkan lagi produk bumiputera di pasaran dalam dan luar negara turut memajukan industri halal di negeri ini.

Saya yakin dengan adanya promosi akan membolehkan industri keropok lekor di negeri ini maju seperti di Terengganu.

No comments: