Thursday, June 13, 2013

Peniaga tudung dahaga imej baharu

KUALA LUMPUR 12 Jun - Peniaga tudung di lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera melaksanakan kerja-kerja naik taraf melibatkan 12 gerai di kawasan itu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130613/wk_02/Peniaga-tudung-dahaga-imej-baharu
Published: Jun 13, 2013


Deretan 12 gerai menjual tudung di lorong Tuanku Abdul Rahman, 
Kuala Lumpur yang dahagakan kerja-kerja naik taraf bagi memberi imej baharu di kawasan itu.

Menurut peniaga berkenaan ia bertujuan memberi imej baharu sekaligus menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan itu.

Ini termasuklah menukar struktur bangunan yang lebih baik berbanding kedai papan sedia ada sejak mereka menjalankan perniagaan hampir 44 tahun.

Wakil 12 peniaga tudung, Faizal Abdul Rahman, 46, berkata, dengan membayar sewa dan memperbaharui lesen perniagaan setiap tahun sudah tiba masanya gerai berkenaaan dinaik taraf.

Menurutnya, 12 kedai tudung tersebut mempunyai sejarahnya tersendiri yang disifatkan antara gerai paling lama di Kuala Lumpur, iaitu sejak tahun 1969, di samping pernah mengalami pelbagai peristiwa termasuk banjir besar pada tahun 1970.

"Asalnya dahulu kami adalah peniaga di Kompleks PKNS di Jalan Melayu (terletak di belakang Wisma Yakin, Jalan Masjid India) yang dipindahkan ke lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman, bermakna sehingga kini kami masih bertaraf perpindahan.

"Sejak 1969 sehingga sekarang k DBKL tidak pernah melakukan apa-apa penambahbaikan terhadap gerai kami yang serba uzur dan sangat terdedah kepada bahaya kebakaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Faizal berkata, sebagai peniaga tudung yang paling awal di Kuala Lumpur sewajarnya DBKL menjadikan deretan kedai mereka sebagai ikon peniaga Melayu Islam yang perlu diberi wajah baharu.

Ini katanya, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun asing ke situ.

"Langkah ini sekaligus memberi gambaran kami mewakili 100 peratus peniaga Melayu dan tidak terkeliru dengan kebanjiran peniaga asing di kawasan berhampiran," katanya.

Beliau juga berharap dengan pelantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang baharu, dapat membangunkan kawasan di situ supaya lebih menarik kerana belum ada lagi kawasan perniagaan atas nama Melayu sebagaimana daya tarikan kawasan 'Little India' mewakili peniaga kaum India di Brickfields dan 'Petaling Street' sebagai mewakili kaum peniaga berbangsa Cina.

"Akibat DBKL tidak pernah melakukan sebarang penambahbaikan kepada gerai-gerai berkenaan menyebabkan kami sukar untuk mendapatkan insuran barang-barang jualan disebabkan struktur kedai yang masih diperbuat daripada kayu.

"Tidak ada mana-mana syarikat insuran dapat menawarkan insurans kepada kami kecuali dengan syarat bangunan kedai mestilah menggunakan tembok atau dinding batu. Jadi kami sangat berharap DBKL dapat mempertimbangkan cadangan ini demi untuk kepentingan kita bersama," katanya.

Menurutnya, jika perlu mereka sedia untuk dipindahkan secara sementara ke tempat lain bagi membolehkan DBKL meroboh dan seterusnya membantu membina gerai-gerai baru yang lebih menarik dan selamat.

"Kami yakin permintaan kami ini mampu dipenuhi DBKL kerana sepanjang tempoh berniaga kami tidak pernah cuai membayar sewa dan memperbaharui lesen," katanya.

Dalam pada itu, kesemua 12 peniaga tudung di kawasan itu turut , membantah tindakan DBKL yang menjadikan lorong hadapan kedai mereka sebagai tapak baharu bazar Ramadan.

Faizal berkata, terdapat 12 petak telah dicat putih yang menunjukkan DBKL membenarkan lorong tersebut dijadikan lokasi bazar.

"Sebelum ini lorong di situ ditutup kepada kenderaan bagi memudahkan orang ramai lalu lalang.

"Jika lorong ini juga dijadikan sebagai tapak Bazar Ramadan, bertambah sesaklah lorong,"katanya.

No comments: