Wednesday, June 12, 2013

Ilmi mula sebagai 'mak andam'

SERING tampil dengan idea-idea segar, terkini, ringkas, dan moden, tanpa diduga ia sebenarnya merupakan pilihan kepada bakal-bakal pengantin hari ini untuk mendapatkan khidmatnya.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130611/ke_03/Ilmi-mula-sebagai-mak-andam
Published: Jun 12, 2013


Ilmi menggunakan bunga segar dalam setiap gubahan hantarannya.

Menawarkan perkhidmatan pelamin, solekan serta gubahan hantaran, Ilmi Shukri Khodori, 29, dilihat begitu sinonim dengan idea-idea yang ringkas tetapi cantik dan menawan.

Bagi Ilmi, apa yang diberikan hanyalah sekadar memenuhi permintaan bakal-bakal pengantin yang inginkan sesuatu yang berlainan tetapi cantik mata memandang.

Sesungguhnya tidak dinafikan baik gubahan hantaran mahupun pelamin, hasil ciptaan Ilmi bersama suaminya, Fazli Shah Simpon, 28, dilihat sesuatu yang begitu segar dan 'baru' dalam bidang perniagaan perkahwinan hari ini.

Turut menggunakan bunga-bunga segar dalam setiap gubahan, ternyata apa yang dihasilkan mampu menaikkan seri barangan yang digubah.

Begitupun, jelas Ilmi, setiap gubahan yang dihasilkan baik hantaran mahupun pelamin akan mengikut kehendak pelanggan.

Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan perkahwinan ini, jelas Ilmi, ia berlaku secara tidak sengaja apabila barangan hantaran untuk perkahwinannya yang digubah sendiri menjadi perhatian rakan-rakan serta tetamu yang hadir.

Bagaimanapun menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini, sebelum bermula dengan gubahan hantaran, dia aktif sebagai 'mak andam' meskipun ketika itu masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Johor.

"Saya memang minat bidang solekan ini dan sering memberikan perkhidmatan ini kepada rakan-rakan yang ingin menghadiri majlis-majlis rasmi dengan bayaran cuma RM30.

"Boleh dikatakan sejak di UiTM saya aktif menyolek rakan-rakan dan tidak menyangka pula punyai bakat dalam gubahan hantaran sehingga menarik perhatian orang lain," ujar Ilmi ketika ditemui di butik pengantin miliknya yang terletak di Jalan Perkasa 1/2, Taman Perkasa, Hulu Langat, Selangor.

Kesungguhan dalam mengembangkan lagi bakatnya dapat dilihat apabila berjaya berganding bahu bersama suami membuka Beauty Me Studio.

Begitupun, jelas Ilmi, buat masa ini dia tidak menawarkan perkhidmatan menyewa baju pengantin mahupun mengambil upah menjahit baju pengantin.

Ini kerana ujarnya, dia baru bermula dan buat masa ini memberi lebih tumpuan kepada bidang yang menjadi kemahirannya.

Ilmi yang pernah bekerja di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara terpaksa melepaskan jawatan kerana ingin memberi lebih tumpuan kepada suami dan rumah tangga.

Begitupun, melihatkan tempahan yang semakin hari semakin banyak, akhirnya dia terpaksa membuat pilihan kembali ke dunia pekerjaan tetapi dengan berniaga sendiri.

Lebih menggembirakan apabila suaminya baru-baru ini turut mengikut jejak langkah untuk sama-sama mengusahakan perniagaan tersebut sepenuh masa.

Hari ini tidak dinafikan, pengorbanan yang dilakukan baik Ilmi mahupun Fazli dilihat berbaloi apabila hasil sentuhan jejari mereka sering diintai bakal-bakal pengantin.

Berbual lanjut mengenai perniagaannya, menurut Ilmi, di awal perniagaan dia hanya berniaga melalui secara dalam talian.

Kini apabila rezeki semakin bertambah dan melihat rata-rata pelanggan ingin melihat sendiri hasilnya, dia memutuskan untuk membuka studio pengantin pada awal tahun ini.

Bagi Ilmi, walaupun boleh dikatakan dirinya mampu mengubah serta menyolek raja sehari, tetapi dia masih menghadiri kursus-kursus yang diadakan di sekitar Lembah Klang dalam usaha memantapkan lagi kemahiran diri yang sedia ada.

Pada masa yang sama, Ilmi tidak ketinggalan mempelajari gubahan mahupun solekan melalui majalah ataupun Internet.

Hari ini, selain menawarkan perkhidmatan untuk pelbagai jenis majlis seperti bertunang, nikah, dan juga kahwin, Ilmi turut memberikan perkhidmatan perancang perkahwinan serta apa jua majlis.

Bagi mereka yang ingin melihat hasil daripada jari jemari Ilmi serta mendapatkan perkhidmatannya bolehlah layari laman sosial Facebook di beautyilmi atau www.beautyme-makeup.blogspot.com.

Pasangan ini juga boleh dihubungi di talian 012-3713424 untuk maklumat lanjut

No comments: