Thursday, June 6, 2013

Komtar JBCC bakal wujud lebih banyak peluang niaga

JOHOR BAHRU 5 Jun. - Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) akan mempunyai imej baharu dengan penjenamaan semula pembangunan kepada Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) menjelang tahun depan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130606/wj_02/Komtar-JBCC-bakal-wujud-lebih-banyak-peluang-niaga
Published: Jun 06, 2013


    Mohamed Khaled Nordin

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penjenamaan semula pembangunan itu akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera dan usaha ini perlu dijadikan agenda berterusan Johor Corporation (JCorp).

Beliau yang juga Pengerusi Jcorp turut mencadangkan tiga inisiatif yang dilihat boleh diusahakan oleh syarikat milik kerajaan negeri itu bagi membantu usahawan bumiputera seperti merangka pelan pemasaran, mewujudkan bidang perniagaan strategik serta mengadakan program kejurulatihan antara anak-anak syarikat Jcorp.

"Inisiatif-inisiatif tersebut bukan sahaja berupaya menambah lebih ramai penglibatan masyarakat bumiputera dalam dunia perniagaan malah turut menjadikan mereka mampu untuk bersaing secara sihat bersama rakan-rakan peniaga mereka dari kalangan bangsa lain.

"Komtar merupakan satu-satunya mercu tanda terawal yang begitu sinonim dengan JCorp yang dibina dan dirasmikan pada 1978. Saya yakin kewujudan Komtar yang bakal bertukar imej menjelang tahun depan, merupakan permulaan kepada proses transformasi bandar raya ini ke arah metropolis paling dinamik di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Pembangunan Komtar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini semalam.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Obet Tawill; Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim; Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Kompleks JBCC yang dibina di atas kawasan seluas 405,000 kaki persegi itu akan menempatkan dua menara pejabat, bangunan baharu Johor Land, sebuah hotel lima bintang dan pusat beli belah selain akan dilengkapi dengan laluan pejalan kaki yang menghubungkan JB Sentral, pusat beli-belah City Square serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta naik taraf menara Komtar sedia ada.

No comments: