Sunday, June 16, 2013

Wilayah Jengka komited lahirkan usahawan berdaya saing

MARAN 14 Jun - Felda Wilayah Jengka berjaya melahirkan sebanyak 4,667 usahawan yang berdaya saing dalam pelbagai bidang perniagaan dalam kalangan warga Felda di negeri ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130615/wp_04/Wilayah-Jengka-komited-lahirkan-usahawan-berdaya-saing
Published: Jun 16, 2013


Saari Din (kanan) menyampaikan hadiah kepada juara masakan tradisional 
kepada Mohd. Irwan Hassan (kiri) dan Junainah Radzuan (dua kiri) dari
 Felda Sungai Nerek pada Program Karnival Usahawan Felda 2013 di Felda Jengka 23, di Maran

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, langkah ini bagi membantu meningkatkan sosioekonomi warga peneroka kerana Felda bukan sahaja memberikan tumpuan kepada aktiviti kelapa sawit dan getah tetapi membina budaya keusahawanan termasuk dalam kalangan generasi baharu.

"Felda sangat komited membangunkan produk-produk hasil tangan warga peneroka, menyediakan premis perniagaan di rancangan, khidmat latihan keusahawanan, peluang-peluang perniagaan baharu dan juga pinjaman modal perniagaan," katanya.

Saari berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Felda 2013 peringkat Wilayah Jengka di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 23 di sini semalam.

Kira-kira 300 warga Felda yang menyertai program ini turut diberi taklimat oleh wakil beberapa agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Agro Bank.

Beliau menambah, Felda komited untuk melatih dan membimbing lebih ramai warga peneroka, khususnya generasi baharu menceburi bidang keusahawanan yang menjanjikan pulangan pendapatan lebih baik.

Jelasnya, pada masa sama Felda telah banyak melaksanakan program keusahawanan dalam membantu usahawan-usahawan di peringkat rancangan dan wilayah agar lebih berdaya saing.

"Bagi tujuan itu, Felda telah menyediakan pinjaman perniagaan tanpa faedah iaitu Skim Insentif Usahawan Felda (SIUF) dengan pinjaman maksimum RM150,000 seorang," katanya.

Menurut Saari, sehingga akhir bulan lepas, Felda Wilayah Jengka telah meluluskan SIUF berjumlah RM3.2 juta kepada 320 penerima daripada kalangan warga Felda Wilayah Jengka.

Beliau berkata, pihak Felda juga sedang berusaha mewujudkan lebih ramai usahawan muda dengan memberikan tumpuan dalam bidang pertanian dan sebagainya.

Katanya, hasrat agensi adalah untuk melahirkan lebih ramai generasi baharu Felda terbabit dalam bidang keusahawanan menerusi bakat dan ilmu mereka.

"Mereka yang bercadang untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan perlu mempamerkan kesungguhan untuk maju serta bijak menghidu peluang," katanya.

No comments: