Tuesday, June 4, 2013

Lulus biaya RM19.7 juta - PNS

Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM25 juta khusus untuk usahawan francaisi tempatan yang mana sejumlah RM19.7 juta sudah diluluskan tahun lalu.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LulusbiayaRM19_7juta/Article/index_html
Published: Jun 04, 2013

Penyaluran pembiayaan yang dianggap besar itu dilihat dapat membantu memperkukuhkan industri francais negara.

Dengan adanya peruntukan berkenaan, ia dijangka membantu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan sasaran yang meningkat kepada lebih RM24 bilion tahun ini, berbanding RM23.6 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, sektor francais yang dijangka berpotensi untuk diperluaskan ketika ini adalah perkhidmatan memandangkan ia masih banyak yang belum diterokai oleh pemain industri berkenaan.

Beliau berkata, usahawan francais tempatan perlu bijak mengenal pasti potensi perniagaan yang ingin dijalankan dan bukan tertumpu kepada satu sektor yang sudah banyak diterokai oleh usahawan lain.

“Perkara ini boleh dilihat dengan kebanyakan usahawan mikro tertumpu kepada perniagaan makanan dan minuman. Walaupun sektor ini dilihat luas untuk diperkembangkan tetapi persaingannya terlalu tinggi berbanding bidang perkhidmatan yang kurang diceburi oleh usahawan kita.

“Antara perniagaan di dalam sektor perkhidmatan yang boleh diterokai ialah khidmat pembersihan rumah kerana setakat ini tidak ramai yang tahu bahawa kebanyakan orang yang berkerja dan tinggal di kawasan bandar terutamanya tidak mempunyai masa untuk mengemas rumah. Oleh itu, ini adalah satu masalah yang boleh diambil peluang oleh usahawan untuk menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Syed Zainol berkata, usahawan boleh meminta bantuan kewangan kepada PNS dengan menyediakan satu kertas cadangan yang berpotensi untuk dibangunkanserta bertahan untuk jangka masa panjang.

“Sememangnya ada pihak yang mengatakan sukar untuk mendapat pembiayaan tetapi mereka perlu tahu kita menilai setiap sudut perniagaan francais yang ingin mereka bangunkan supaya tidak berlaku masalah bagi membuat pembayaran balik kerana ia penting bagi membantu usahawan lain mendapat pembiayaan selepas itu,” katanya.

No comments: