Tuesday, September 25, 2012

Usahawan Malaysia perlu teroka peluang perniagaan

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/usahawan-malaysia-perlu-teroka-peluang-perniagaan-1.88117

Published: September 25, 2012

JAKARTA - Para usahawan Malaysia perlu meneroka peluang-peluang perniagaan di luar Jakarta kerana pertumbuhan ekonomi Indonesia yang baik telah banyak membuka peluang baru di seluruh Indonesia.

Penasihat Ekonomi di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Syahril Syazli Ghazali berkata Surabaya misalnya, merupakan kota industri yang pesat membangun dan merekodkan pertumbuhan ekonomi 6.73 peratus pada tahun lepas.

Permintaan terhadap produk industri dan pengguna di Surabaya pada masa ini adalah begitu memberangsangkan, katanya ketika dihubungi di Surabaya pada Isnin.

Beliau berada di Surabaya bersama 30 usahawan Malaysia, yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke Indonesia bagi mengintai peluang perniagaan dan pelaburan di dua kotaraya besar Indonesia iaitu
Surabaya dan Jakarta.

Yang turut serta bersama delegasi usahawan Malaysia itu ialah Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrate) di Jakarta, Nadzri Shamsuddin.

Syahril berkata Indonesia menawarkan pasaran yang cukup besar kepada para pengeksport Malaysia.

"Ekonomi Indonesia yang dipacu oleh permintaan domestik, dan peningkatan kuasa beli oleh rakyat Indonesia secara langsung membuka lebih banyak peluang kepada syarikat dari Malaysia untuk memenuhi permintaan terhadap pelbagai produk dan perkhidmatan khususnya dari bandar-bandar besar seperti Jakarta, Surabaya dan Medan," katanya.
Semasa ditanya mengenai implikasi terhadap hubungan ekonomi dua hala Malaysia-Indonesia jika produk import Malaysia membanjiri pasaran Indonesia, Syahril berkata persaingan produk import dan produk
tempatan tidak dapat dielakkan di mana-mana pasaran apabila sesebuah negara termasuk negara-negara ASEAN meliberalisasikan ekonomi.

"Sememangnya tujuan utama negara-negara di dunia melakukan kerjasama ekonomi adalah supaya produk dan perkhidmatan yang berkualiti dapat sampai kepada pengguna akhir dengan harga yang lebih murah.

"Hal yang sama berlaku di Malaysia. Selain daripada bahan-bahan mentah dan separuh siap yang banyak diimport dari Indonesia, restoran dan produk-produk makanan Indonesia juga semakin popular di
Malaysia," katanya.

Program lawatan 30 usahawan Malaysia dari 21 syarikat ke Surabaya dan Jakarta itu, dianjurkan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di bawah misi perdagangan dan pelaburan.

Para usahawan Malaysia itu mengisi program itu dengan jadual ketat pertemuan dan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri serta para pemimpin Dewan Perniagaan dan Industri (KADIN) dan anggota perniagaan di kedua-dua bandar raya itu.

Mereka juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Badan Penyelarasan Penanaman Modal (BKPM) di Jakarta selain melawat kawasan industri di Surabaya dan Jakarta.

Syahril berkata program lawatan yang dimulai di Surabaya pada Isnin dan Selasa itu, memberi tumpuan kepada lima bidang ekonomi iaitu baja dan produk pertanian; produk kimia dan plastik; alat ganti automotif;
mesin dan peralatan industri serta pengurusan sisa buangan.

"Aktiviti ekonomi yang melibatkan para usahawan dan ahli perniagaan Malaysia dan Indonesia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Nilai perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia meningkat kepada US$18.1 bilion pada tahun lalu berbanding US$14.7 bilion pada tahun 2010," katanya. - Bernama

No comments: