Tuesday, March 5, 2013

Dana RM10.3b sudah disalur

Kerajaan setakat ini sudah membantu lebih dua juta usahawan Bumiputera menerusi pelbagai peruntukan berjumlah RM10.3 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan Kesepuluh (RMKe-10).

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DanaRM10_3bsudahdisalur/Article
Published: March 05, 2013

Dana RM10.3b sudah disalur
Khairy (kiri) dan Nor Mohamed melihat Najib meneliti Resolusi Usahawan 2013 
pada Majlis Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di Kuala Lumpur.

Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd (PUNB) yang juga Pengerusi Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013, Khairy Jamaluddin, berkata pencapaian itu sekali gus membuktikan komitmen tinggi kerajaan menerusi langkah memperkasakan agenda Bumiputera, yang menjadi agenda utama negara. “Bantuan yang disalurkan kerajaan menerusi pelbagai agensi itu menunjukkan tiadanya pertikaian terhadap kerajaan dalam pembangunan usahawan Bumiputera, tidak kira dari syarikat kecil hingga besar mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 dan penyerahan enam resolusi hasil daripada program itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau turut berkongsi kisah kejayaan usahawan hasil bimbingan dan bantuan kerajaan antaranya Fatihah Frozen Food Sdn Bhd, yang memulakan perniagaannya sejak lebih 20 tahun lalu dengan mendapatkan pinjaman awal daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Katanya, bermula dengan perniagaan karipap dari rumah, kini pengusahanya berjaya merintis kejayaan dengan menjadi pembekal kepada kedai rakyat 1 Malaysia di seluruh negara.

“Syarikat lain ialah Proeight Offshore Engineering Sdn Bhd, yang diiktiraf sebagai antara lima pengeluar pengedap mekanikal di dunia selain perniagaan medan selera, Rasa Food Arena di bawah bimbingan PUNB yang mempunyai operasi di KLCC, Alamanda serta terbaru akan dibuka di KLIA 2 tidak lama lagi,” katanya.

Kaji semula Akta

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 serta amalan menyenaraikan hitam syarikat oleh bank, kerana ia antara masalah yang dihadapi oleh usahawan kerana ada di antara mereka muflis kerana ditipu.

Khairy berkata, PUNB bersama 12 agensi kerajaan yang lain akan mengambil langkah bersepadu dalam merangka dan melaksanakan strategi bagi pembangunan usahawan terutama bagi aspek pemasaran dan pembinaan keyakinan bagi memastikan mereka maju dan berdaya saing hingga peringkat global.

Katanya, satu jaringan kerjasama berteraskan perkongsian maklumat dan amalan terbaik juga akan diwujudkan, selain gandingan penjenamaan serta pendekatan kumpulan sasaran.

No comments: