Friday, March 1, 2013

Komuniti Perniagaan Cina Optimistik Terhadap Unjuran 2013 Hingga 2015

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Komuniti perniagaan Cina optimis terhadap unjuran ekonomi dari 2013 hingga 2015 susulan prestasi separuh pertama 2012 yang lebih baik, demikian menurut kajian oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (ACCCIM).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=931023
Published: March 01, 2013

Kajian "Situasi Ekonomi Malaysia bagi Separuh Kedua 2012," menunjukkan 56 peratus responden menyuarakan keyakinan terhadap unjuran itu, peningkatan 13 peratus mata berbanding 46 peratus yang direkodkan dalam kajian sebelumnya.

Anggota Majlis Kebangsaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan ACCCIM, Dr Leong Kai Hin berkata keputusan itu adalah hasil daripada pengalaman yang semakin baik yang dialami peniaga dalam bidang jualan, selain jumlah pengeluaran dan kutipan yang lebih baik.

"Berdasarkan keputusan separuh kedua 2012, mereka (komuniti perniagaan Cina) mengunjurkan prestasi yang lebih baik itu akan berterusan dalam tempoh tiga tahun akan datang walaupun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi dunia," katanya pada taklimat media mengenai kajian itu.

Sejumlah 408 syarikat dalam pelbagai sektor seperti peruncitan dan pemborongan, pengeluaran, pembinaan, hartanah, khidmat profesional dan perniagaan, selain teknologi maklumat dan telekomunikasi, terlibat dalam kajian itu.

Kajian itu dilakukan bagi memperoleh maklum balas dan pendapat daripada ahli peniagaan Cina mengenai persekitaran perniagaan dalam tempoh itu, selain membantu kerajaan mengenal pasti kedudukan ekonomi yang dihadapi oleh ahli perniagaan Cina dan pada masa yang sama menyediakan asas untuk ACCCIM mengemukakan memorandum yang berkaitannya.

Kajian itu juga menunjukkan separuh kedua 2012 mencatat peningkatan dalam jumlah tempahan baharu dari pasaran luar negara, pasaran pekerjaan yang lebih baik, gaji yang stabil dan sebagainya.

Faktor utama ayang menjejaskan prestasi ialah dasar kerajaan, kekurangan pekerja, peningkatan kos operasi dan harga bahan mentah selain saingan domestik.

Mengenai pelaburan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan Sosioekonomi Peck Boon Soon berkata menurut kajian itu, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Cina dilihat tidak mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan.

Beliau berkata ini boleh dilihat berdasarkan penglibatan komuniti perniagaan Cina dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), terutama projek minyak dan gas, selain pembangunan Wilayah Iskandar.

Beliau berkata kajian itu wajar dijadikan panduan oleh kerajaan untuk meningkatkan usaha mengkaji keperluan membantu PKS Cina.

Bagi 2013, Peck berkata pelaburan swasta Malaysia secara keseluruhan, mungkin menyederhana, namun pertumbuhan terus kukuh melepasi 10 peratus.

"Momentum meningkat pelaburan 2012 dijangka bertahan tahun ini, namun pertumbuhan akan menyederhana, berikutan risiko tinggi akibat ketidaktentuan ekonomi dunia," katanya.

Beliau berkata ETP kerajaan dan unjuran pemulihan dua ekonomi utama, Amerika Syarikat dan China, akan meningkatkan sentimen positif untuk pelaburan.

Turut hadir ialah Presiden ACCCIM Datuk Lim Kok Cheong dan Setiausaha agung Datuk Low Kian Chuan.

-- BERNAMA

No comments: