Sunday, March 24, 2013

Panasonic Malaysia Beri Peluang Lebih Ramai Bumiputera Jadi Wakil Penjual

PASIR PUTEH, 23 Mac (Bernama) -- Panasonic Malaysia Sdn Bhd akan memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera untuk menjadi wakil penjual barangan elektronik yang dikeluarkan oleh syarikat itu.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=936828
Published: March 24, 2013

Timbalan Pengarah Urusan Cheng Chee Chung berkata keutamaan akan diberikan kepada mereka yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang jualan dan pengurusan.

Mereka yang terpilih akan dihantar ke Jepun untuk latihan perniagaan, katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan cawangan baharu Syarikat Kemudi Timur Elektronik Sdn Bhd, di sini Sabtu.

Beliau berkata sehingga ini, penyertaan Bmiputera sebagai wakil penjual dalam syarikat itu terlalu kecil iaitu tidak sampai 10 peratus daripada 1,000 wakil di seluruh negara.

Katanya syarikatnya mengamalkan sikap "pintu terbuka", tidak hanya terbatas kepada satu-satu golongan sahaja, dan yang penting mereka mempunyai keyakinan, kebolehan dan kesungguhan dalam perniagaan.

Cheng berkata pemilihan Syarikat Kemudi Timur, yang merupakan syarikat Bumiputra pertama yang dipilih sebagai wakil penjual di negeri pantai timur berdasarkan prestasinya yang cemerlang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kemudi Timur Elektronik Sdn Bhd, Shabki Abdullah berkata menerusi penubuhan cawangan di Pasir Puteh, syarikat tersebut kini mempunyai 15 cawangan di seluruh Kelantan.

Beliau berkata lebih 150 penduduk di negeri ini memperoleh peluang pekerjaan.

-- BERNAMA

No comments: