Tuesday, March 26, 2013

Dua Puluh Empat Syarikat Akan Terima Pensijilan Jenama Malaysia - SME Corp

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Sebanyak 24 syarikat kini dalam pelbagai peringkat untuk memperoleh Tanda Keunggulan Kebangsaan Jenama Malaysia, jenama yang melambangkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan syarikat Malaysia.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=937232
Published: March 26, 2013

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/24PKSdijangkadapatsijilJenamaMalaysia/Article/index_html
Published: March 27, 2013

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pensijilan Sistem SIRIM QAS International Sdn Bhd Parama Iswara Subramaniam berkata syarikat terbabit sudah sedia untuk diaudit.

"Mereka kini perlu melalui proses penilaian standard, memandangkan kami sudah pun menerima permohonan mereka dan tarikh-tarikh sudah ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) Malaysia Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata sejak 2009, sejumlah 59 syarikat dari pelbagai industri sudah disahkan menerima tanda keunggulan Jenama Malaysia.

"Pada masa ini 30 syarikat menunjukkan minat untuk diaudit untuk pensijilan itu," kata Al Amin.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman web khusus bagi menyediakan maklumat dan maklumat terkini mengenai skim pensijilan Jenama Malaysia.

"Menerusi usaha ini (pensijilan), kerajaan berharap dapat menukar tanggapan bahawa produk PKS berkualiti rendah, pakej serta standard yang rendah berbanding jenama lain.

"Bagi melayakkan untuk mengikuti penilaian itu, syarikat Malaysia yang menyertai skim berkenaan mesti memenuhi minimum penarafan tiga bintang menerusi peralatan diagnostik SME Corp, Penarafan Daya Saing Bagi Peningkatan PKS (SCORE).

"Syarikat itu kemudiannya dinilai berdasarkan standard yang ketat, dengan langkah-langkah pemantauan dan pengauditan yang lengkap bagi memastikan pematuhan standard kualiti.

"Jika berjaya, produk atau perkhidmatan berhak menggunakan Jenama Malaysia. Bagi mengekalkan jenama ini, langkah-langkah pemantauan dan pengauditan akan dilakukan secara berkala," katanya.

Beliau berkata aktiviti promosi perdagangan akan dilakukan bagi mempromosikan jenama yang memperoleh Tanda Keunggulan dan perakuan ke atas jenama itu.

Tanda Keunggulan Kebangsaan Jenama Malaysia atau lebih dikenali sebagai Jenama Malaysia, dibangunkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan SME Corp Malaysia, dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd, sebagai rakan pensijilan.

-- BERNAMA 

No comments: