Thursday, March 14, 2013

myNEF Anjur Bengkel M&A Untuk Bangunkan Usahawan Bumiputera Mampan

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Dalam usaha berterusan untuk membangunkan usahawan Bumiputera yang mampu bertahan, Yayasan Usahawan Baru (myNEF) menganjurkan program pertama bengkel penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=934177
Published: March 14, 2013

Dalam satu kenyataan hari ini, myNEF berkata 44 syarikat menyertai bengkel itu yang bermatlamat memberikan taklimat mengenai strategi kejayaan pembangunan dan pelaksanaan M&A.

"Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemangkin Usahawan (PUsh) myNEF yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lepas," katanya.

myNEF berkata antara tajuk yang dibincangkan pada bengkel itu ialah sektor yang berpotensi yang melibatkan keusahawanan dan inovasi, rasional melaksanakan pengambilalihan dan teknik yang digunakan dalam memenuhi rangka kerja kawal aturan dan pengambilalihan.

"Sebagai pemudah cara industri, myNEF membantu syarikat menentukan rasional, memilih sasaran pengambilalihan, menilai potensi jangka panjang sesuatu usaha sama itu," katanya.

Syarikat yang menyertai bengkel itu terdiri daripada sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan industri kreatif, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif myNEF Ferdaus Johar berkata sejak pelancaran PUsh, yayasan itu mencatat kejayaan dalam memperkenal pelbagai program kepada usahawan Bumiputera menerusi Karnival ICT & Kreatif, serta bengkel terbabit.

"Kami sudah membuat capaian ke atas kira-kira 500 syarikat dala program Rangkaian Pengedaran Nasional dan kami berharap dapat mengenal pasti lebih banyak syarikat yang dapat menyertai program M&A kami," katanya.

Beliau berkata yayasan itu mahu membantu usahawan Bumiputera menjalankan perniagaan yang berjaya dan mampan.

myNEF, organisasi yang ditubuhkan bukan untuk meraih keuntungan, dipertanggungjawabkan untuk membangun dan melaksana program-program menyeluruh bagi memastikan industriICT dan kreatif mencatat pertumbuhan dan berdaya saing dalam negara.

-- BERNAMA

No comments: