Sunday, March 3, 2013

Kerajaan Peruntuk RM 4.47 Bilion Kepada MARA Tahun Ini

KUALA PILAH, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM4.47 bilion kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melaksanakan pelbagai program meliputi aktiviti keusahawanan dan pendidikan sepanjang tahun ini.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=931588
Published: March 03, 2013

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata peruntukan itu turut meliputi kos operasi keseluruhan agensi untuk melaksanakan program dan aktiviti berkenaan.

"Dalam usaha mentransformasikan ekonomi Malaysia ke arah ekonomi berimpak tinggi, pembangunan keusahawanan merupakan antara teras yang terpenting.

"MARA selaku organisasi pembangunan usahawan melalui pelbagai program yang telah dirangka di bawah sektor keusahawanan dan pendidikan bertujuan untuk memangkinkan pembangunan masyarakat secara sistematik," katanya semasa berucap pada pelancaran Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Mara dan Koperasi, di sini Sabtu.

Katanya bagi melancarkan inisiatif kerajaan itu, semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan serta penggiat utama industri, perlu memberi kerjasama sebaik mungkin kepada agenda di bawah program pembangunan usahawan kementerian berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata MARA berjaya melahirkan 12,389 usahawan baharu dalam pelbagai bidang sepanjang tahun lepas.

Katanya jumlah tersebut melebihi sasaran sebenar iaitu 8,000 usahawan.

-- BERNAMA 

No comments: