Friday, March 22, 2013

GMB Malaysia, TPM Meterai Mou Bantu Usahawan Muda Ke Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) Khamis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Technology Park Malaysia Corp Sdn Bhd (TPM) untuk membangunkan program latihan pengeksport muda bagi membantu usahawan muda menembusi pasaran antarabangsa.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=936387
Published: March 22, 2013

Kerjasama itu akan melibatkan 100 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang telah diiktiraf sebagai 'sedia mengeksport' yang akan menerima perkhidmatan pembangunan usahawan, khidmat nasihat, kemudahan, peralatan, latihan, perundingan dan khidmat sokongan daripada TPM.

GMB diwakili oleh Presidennya Agil Faisal Ahmad Fadzil sementara TPM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Azman Shahidin pada majlis menandatangani MoU itu, yang disaksikan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Pengeksport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud.

Sementara itu, Agil Faisal berkata kerjasama itu diharap dapat membantu meluaskan pasaran dan menyediakan usahawan yang boleh untuk berdaya saing di peringkat luar selain memastikan produk yang dihasilkan menepati tahap pensijilan dan pembungkusan antarabangsa.

"Ada antara produk yang dihasilkan sangat sedia untuk dieksport, tetapi malangnya usahawan pula separa bersedia kerana tidak berpengalaman dalam pasaran yang lebih luas dan tidak tahu bagaimana hendak menyesuaikan produk dengan cita rasa negara yang hendak dipasarkan.

"Contohnya, pasaran makanan seperti kek keju beku yang diterima baik di Malaysia, tetapi apabila dibawa ke Singapura, masyarakat di sana merasakan ia terlalu manis dan perkara seperti ini yang kita akan cuba bantu melalui kerjasama ini," katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU itu di menara Matrade, di sini Khamis.

Mengulas mengenai pemilihan syarikat yang boleh menyertai program itu, Agil Faisal berkata ia terbuka kepada usahawan berusia 45 tahun ke bawah dan pemilihan dibuat berdasarkan syarikat yang telah berdaftar dengan GMB Malaysia, namun usahawan yang mempunyai produk sesuai boleh dipertimbangkan.

Mohd Azman berkata TPM menyediakan infrastruktur canggih lengkap dengan perkhidmatan pakar selain mempunyai kemudahan seperti Pusat Pengkomersialan Teknologi, Pusat Inovasi Inkubasi dan TPM Biotech di Raub, Pahang dan di Arau, Perlis yang boleh digunakan sebagai sokongan kepada PKS di negara ini.

"TPM amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha sama yang membimbing usahawa muda menjadi pemimpin pasaran antarabangsa selari dengan usaha kami merealisasikan agenda kerajaan untuk membangunkan pertumbuhan usahawan muda yang berjaya," katanya.

-- BERNAMA

No comments: