Thursday, March 21, 2013

PKS dibenar tangguh gaji minimum pekerja asing

PUTRAJAYA 20 Mac - Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bersetuju membenarkan majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pelaksanaan gaji minimum kepada pekerja asing sehingga 31 Disember ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130321/ek_08/PKS-dibenar-tangguh-gaji-minimum-pekerja-asing
Published: March 21, 2013

Majlis itu dalam kenyataan di sini menjelaskan, dalam masa sama, penangguhan turut diberikan kepada mana-mana majikan selain PKS yang menghadapi masalah melaksanakan Perintah Gaji Minimum 2012 (Perintah).

"Majikan terbabit boleh memohon penangguhan secara individu kepada urus setia MPGN sebelum tarikh tutup permohonan pada 30 Jun ini.

"Mana-mana majikan yang telah mendapat penangguhan tidak dibenarkan membuat potongan levi, kos penginapan atau elaun-elaun lain bagi pekerja asing," kata kenyataan itu, semalam.

Kerajaan tahun lalu menerusi Perintah menetapkan gaji minimum RM900 sebulan dilaksanakan di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak mulai 1 Januari lalu, termasuk kepada pekerja asing.

Walau bagaimanapun, Perintah tersebut mendapat bantahan sebilangan majikan kerana perlu menanggung kos tambahan seperti levi dan lain-lain.

Jelas kenyataan itu, mana-mana majikan yang telah melaksanakan gaji minimum dibenarkan secara menyeluruh membuat potongan levi dan kos penginapan.

No comments: