Wednesday, March 13, 2013

PNS sedia RM60 juta beli ekuiti

Perbadanan Nasional Bhd (PNS) memperuntukkan RM60 juta tahun ini untuk dilaburkan dalam syarikat Bumiputera berpotensi bagi membantu mereka mengukuhkan perniagaan serta memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Source from (Berita Harian): http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/PNSsediaRM60jutabeliekuiti/Article
Published: March 13, 2013

PNS sedia RM60 juta beli ekuiti

Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, pelaburan dalam bentuk pembelian ekuiti itu tidak hanya terhad kepada syarikat berkaitan industri francais, tetapi juga yang terbabit dalam industri lain, terutama yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, sejak tiga tahun lalu, agensi telah melabur kira-kira RM100 juta dalam beberapa syarikat yang terbabit dalam semua sektor perniagaan kecuali pembinaan menerusi Skim Pelaburan Ekuiti PNS, dan ketika ini masih memegang ekuiti dalam lebih 10 syarikat.

Bagi tahun ini, kami memperuntukkan kira-kira RM60 juta untuk dilaburkan bagi membeli ekuiti dalam enam hingga lapan syarikat berpotensi khususnya milik Bumiputera.

PNS akan meneruskan pelaburan ekuiti ini kerana ia mampu memberikan pulangan tinggi bagi menyokong operasi kami, pada masa sama membolehkan kami membantu lebih banyak syarikat tempatan yang berpotensi, katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Pulangan tinggi

Syed Kamarulzaman berkata, Skim Pelaburan Ekuiti itu diperkenalkan PNS sejak ia diaktifkan semula pada 1998, tetapi jumlah pelaburan yang dibuat adalah kecil iaitu antara RM1 juta hingga RM10 juta yang disasarkan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi.

Pelaburan ekuiti oleh PNS itu katanya, adalah berbentuk jangka pendek iaitu antara tiga hingga lima tahun dengan sasaran pulangan sebanyak tujuh peratus setahun.

PNS membeli antara antara lima peratus hingga 49 peratus ekuiti dalam syarikat yang dikenal pasti, tetapi kebiasaannya mengehadkan kepada hanya 30 peratus bagi mengekalkan pemilikan majoriti oleh usahawan, katanya.

Kriteria pemilihan

Beliau menjelaskan, antara kriteria pemilihan bagi pelaburan itu ialah, sesebuah syarikat itu mesti sudah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan, perniagaan dalam peringkat pengembangan dan mempunyai daya maju yang tinggi.

Mungkin ada syarikat yang mahu membesarkan perniagaan seperti untuk pembelian inventori, membina kilang baru serta membuat pengiklanan dan promosi, tetapi mereka tidak mempunyai kapasiti meminjam kerana modal yang kecil.

Di sinilah PNS memainkan peranannya, iaitu dengan memberi suntikan dana menerusi pembelian ekuiti supaya syarikat berkenaan boleh mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat untuk disenaraikan, katanya.

Kadar kompetitif

Sementara itu, Syed Kamarulzaman berkata, PNS memperuntukkan RM10 juta tahun ini bagi menyediakan lebih banyak premis perniagaan terutama di kawasan bandar seluruh negara untuk disewakan kepada usahawan francais pada kadar kompetitif.

Kami akan terus membeli unit perniagaan di lokasi strategik terutama di kawasan bandar untuk disewakan kepada usahawan francais kami. Usahawan yang terbabit boleh membeli unit perniagaan itu selepas tahun kelima pada harga bersesuaian, katanya.

Mengenai prospek industri francais, katanya industri itu akan terus berkembang seiring dengan persekitaran ekonomi Malaysia yang lebih baik serta pertambahan ruang perniagaan.

No comments: