Thursday, March 7, 2013

Agro Bazaar Kedai Rakyat catat jualan RM7.9 juta

MELAKA 6 Mac - Agro Bazaar Kedai Rakyat (AKR) yang ditubuhkan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7.9 juta sehingga Disember tahun lalu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130307/ws_02/Agro-Bazaar-Kedai-Rakyat-catat-jualan-RM79-juta
Published: March 07, 2013


AGRO Bazaar Kedai Rakyat milik seorang usahawan bumiputera 
di Taman Tanjung Minyak, Bukit Rambai, Melaka.

Ketua Unit Pembangunan Usahawan FAMA negeri, Md. Hashim Ibrahim berkata, jumlah memberangsangkan itu diperoleh daripada hasil jualan pelbagai produk pertanian serta barangan keperluan harian di sembilan buah AKR yang terdapat di negeri ini.

"Jumlah itu merupakan nilai jualan terkumpul sejak mula diwujudkan tiga tahun lalu merangkumi daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin," katanya ketika ditemui di AKR Taman Tanjung Minyak di sini hari ini.

AKR yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup petani serta penduduk setempat.

Menurut Md. Hashim, FAMA bercadang menambah sebanyak dua buah AKR lagi pada tahun ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan petani kecil dan masyarakat setempat atas faedah yang diperoleh daripadanya.

"Tambahan dua cawangan AKR itu diharap dapat meningkatkan nilai jualan kepada RM9 juta bagi kesemua cawangan yang terdapat di negeri ini menjelang hujung tahun.

"Sasaran itu diyakini akan berjaya dicapai memandangkan sehingga tempoh ini sahaja, AKR di seluruh negeri telah meraih nilai jualan sebanyak RM3.5 juta," jelasnya.

Tambah beliau, AKR juga berharap dapat memudahkan masyarakat setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan asas dan produk pertanian dengan harga berpatutan kepada penduduk setempat.

"Golongan petani kecil di seluruh negeri turut diharap dapat menyalurkan hasil produk mereka yang tidak dapat dijual di pasar-pasar besar kepada AKR bagi mengelak berlakunya lambakan hasil tani selain membantu meningkatkan ekonomi mereka," katanya.

No comments: