Thursday, March 7, 2013

Awang Adek: Dana tambahan perlu disambut bukan bumiputera

BACHOK, 6 Mac (Bernama) -- Pengumuman dana tambahan berjumlah RM600 juta untuk membantu usahawan bumiputera oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perlu disambut secara positif oleh bukan bumiputera.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/awang-adek-dana-tambahan-perlu-disambut-bukan-bumiputera-1.137189
Published: March 07, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=932449
Published: March 07, 2013

Awang Adek

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kaum bukan bumiputera akan turut mendapat faedah menerusi peruntukan itu kerana ia saling berkait rapat dan berantai.

"Jika bumiputera maju mereka mampu membeli barangan yang dijual bukan bumiputera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Menengah Kebangsaan Jelawat di sini Rabu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Najib pada Isnin lepas yang antara lain berkata daripada RM600 juta itu, sebanyak RM400 juta akan diurus oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

Baki RM200 juta akan diurus oleh Mara dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), masing-masing RM100 juta. Had pinjaman agensi Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Awang Adek berkata jika kaum bumiputera gagal, mereka tidak mungkin mampu membeli barangan keperluan yang dijual bukan bumiputera dan secara tidak langsung bukan bumiputera juga tidak mendapat faedah.

Beliau berkata menerusi dana pinjaman itu usahawan bumiputera berpeluang meluaskan perniagaan masing-masing bukan sahaja dalam negara bahkan ke peringkat antarabangsa.

Katanya sumber dana itu tidak diambil daripada pemilikan satu-satu kaum, ia khusus daripada dana kerajaan untuk membantu kaum Bumiputera yang kini masih ke belakang berbanding dengan kaum lain.

Beliau berkata mereka yang mendapat manfaat itu perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana ia tiada dalam agenda parti pembangkang, bahkan para pemimpin pembangkang dari awal lagi bertekad menghapuskannya terutama Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Oleh itu mereka tiada pilihan lain lagi selain menyokong calon-calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak, bagi mengekalkan dasar itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments: