Monday, March 4, 2013

Penarafan PNS tambah baik syarikat francaisor

Perbadanan Nasional Bhd (PNS) akan memperkenalkan penarafan bintang atau penggredan kepada lebih 680 syarikat francaisor di negara ini sebagai antara langkah penambahbaikan untuk merancakkan industri francais tempatan.

Source from (Berita Harian): http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/PenarafanPNStambahbaiksyarikatfrancaisor/Article
Published: March 04, 2013

Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata sistem penarafan yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu akan dijadikan sebagai penanda aras mengukur kejayaan francaisor selain membolehkan bakal francaisi membuat pilihan serta mendapatkan maklumat perniagaan yang tepat.

Kumpul data

Beliau berkata, ketika ini PNS dan kementerian sedang mengumpulkan maklumat serta data operasi syarikat francaisor. Penarafan dibuat berdasarkan penilaian pengurusan, prestasi perniagaan dan sistem francais selain tahap pencapaian syarikat.

PNS, katanya, menyasarkan untuk menjalankan penilaian terhadap sekurang-kurangnya 100 francaisor setahun.

“Sistem penarafan francais ini perlu diwujudkan bagi memastikan adanya ketelusan dan kesahihan maklumat supaya ia boleh dijadikan rujukan oleh usahawan sebelum memutuskan menjadi francaisi sesebuah syarikat atau perniagaan.

“Kami sudah membangunkan sistem pangkalan data bagi penarafan francais ini dan hanya menunggu kelulusan KPDNKK sebelum ia dilancarkan dijangkakan pada pertengahan tahun atau pada suku ketiga tahun ini. “Apabila dilaksanakan kelak, ia akan turut membabitkan penyertaan persatuan francais dengan lebih menyeluruh,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syed Kamarulzaman berkata, menerusi pemantauan berstruktur, francaisor yang mempunyai penarafan yang rendah akan diberi bimbingan dan kursus menerusi Akademi Francais yang ditubuhkan PNS bagi memperbaiki kelemahan yang diukur dari pelbagai aspek seperti keuntungan dan kecairan syarikat.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kadar peratusan francaisor yang kurang berjaya adalah kecil, pada masa yang sama meningkatkan keyakinan usahawan tempatan untuk menyertai bidang perniagaan francais sebagai kerjaya.

“Di Amerika Syarikat contohnya, bakal francaisi boleh meminta maklumat atau dokumen syarikat daripada francaisor. Jika mereka gagal menyediakan maklumat tepat, mereka boleh disaman. Di Malaysia pula, kebanyakan bakal francaisi tidak tahu menanyakan soalan yang tepat kepada francaisor.

“Dalam hal ini, francaisor yang kurang berjaya perlu menstruktur semula perniagaan mereka termasuk dengan mendapatkan francaisi dan lokasi yang baik serta penyediaan latihan yang secukupnya. Ini kerana francais adalah satu sistem perniagaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, selain penarafan francais, PNS juga akan memberi penekanan kepada pengukuhan Program Transformasi Perniagaan (BIT) yang membabitkan peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara selain Program Pembangunan Francais Tempatan serta Program Kesedaran Francais di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun ini.

No comments: