Friday, March 22, 2013

7,173 usahawan Mara berpotensi jadi jutawan

ALOR SETAR 21 Mac - Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengenal pasti seramai 7,173 usahawan Bumiputera di seluruh negara di bawah programnya yang berpotensi mencapai status jutawan dengan pendapatan perniagaan melebihi RM2 juta setahun.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130322/ek_01/7173-usahawan-Mara-berpotensi-jadi-jutawan
Published: March 22, 2013

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Mohd. Rosdi Ismail berkata, pihaknya akan membantu memantapkan lagi perniagaan usahawan-usahawan berkenaan menerusi pelbagai inisiatif dan program pembangunan bagi melahirkan usahawan Bumiputera jutawan dari semasa ke semasa.

"Ini selaras dengan matlamat Mara untuk mencapai sasaran 500 usahawan jutawan dalam tempoh lima tahun sehingga 2015 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

"Mara akan memantapkan lagi perniagaan usahawan-usahawan ini bagi memastikan mereka mampu mengembang, mempelbagai dan mewujudkan rangkaian perniagaan serta bersedia untuk sampai ke tahap eksport produk ke luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Himpunan Usahawan Kedah yang dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, Mara menjangkakan 10 peratus daripada 7,173 usahawan Bumiputera yang berpotensi itu berupaya menjadi jutawan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Jika menjadi kenyataan katanya, agensi berkenaan berjaya membangunkan kira-kira 700 jutawan dan angka tersebut melepasi sasaran asal 500 orang dalam RMK-10.

Sementara itu, beliau memberitahu, Mara pada tahun ini menawarkan pembiayaan perniagaan kepada 6,530 usahawan di seluruh negara berjumlah RM50.2 juta manakala di Kedah sahaja melibatkan seramai 438 penerima (RM35 juta).

No comments: