Wednesday, March 27, 2013

Giatmasa Lahir Usahawan Berjaya Raih Pendapatan RM7,000 Sebulan

BESUT, 26 Mac (Bernama) -- Ramai pelatih termasuk mereka yang mengikuti kursus secara sambilan dengan GiatMara berjaya menjadi usahawan yang mampu menjana pendapatan bulanan melebihi RM7,000.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=937406
Published: March 27, 2013

Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara Meriyam Abd Majid berkata kebanyakan mereka hanya mempunyai kelulusan menengah rendah, tetapi menggunakan kemahiran yang mereka pelajari daripada GiatMara, untuk menjadi usahawan berjaya.

Katanya mereka bermula dengan semangat yang tinggi untuk mempelajari pelbagai jenis kemahiran yang disediakan GiatMara dan akhirnya mereka berjaya membesarkan perniagaan dan perusahaan hingga sesetengahnya ke peringkat antarabangsa.

"GiatMara telah menjalankan tanggungjawab sebagai contoh terbaik kerajaan membantu penduduk di kampung keluar daripada kemiskinan dan berjaya dalam perniagaan," katanya kepada Bernama semasa mengadakan Program 'Kampungku Mahir' di Kampung Beting Lintang di sini semalam.

Menurutnya, ketika ini sebanyak 231 GiatMara beroperasi di seluruh negara yang menyediakan 42 jenis kursus kemahiran untuk penduduk terutama kaum belia dan remaja yang berminat dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Katanya di peringkat kampung, GiatMara menjelajah bagi memperkenal beberapa program, termasuk program 'Kampungku Mahir' dan '1 Insan 1 Kemahiran', mengajak penduduk kampung menggunakan kemahiran yang diajar untuk menjana pendapatan.

"Di peringkat kampung kami menyediakan kursus-kursus kemahiran seperti dalam sulaman manik, menjahit, membuat kek dan pastri, masakan, solekan dan membaiki motosikal serta membaiki badan bot," katanya.

Kursus bertaraf tinggi yang turut disediakan termasuk dalam bidang animasi, kerja logam, pastri dan grafik.

-- BERNAMA

No comments: