Friday, May 24, 2013

Cabaran berniaga makanan

KEJAYAAN seorang lelaki sering kali dikaitkan dengan kehadiran wanita yang sentiasa berdiri di belakangnya memberi sokongan atas apa yang dilakukan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130524/ke_01/Cabaran-berniaga-makanan
Published: May 24, 2013


Mastar (tujuh dari kiri) bersama ahli keluarga dan para pekerjanya 
yang menjadi tulang belakang kejayaan Mastar Catering.

Ungkapan yang sering diguna pakai ini nyata terbukti kebenarannya bagi pemilik Mastar Catering, Mastar Muni, 48, dalam usaha menempatkan diri dalam kalangan pesaing-pesaing khidmat sajian makanan di pasaran hari ini.

Berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang katering, tidak sekali pun dia dibiarkan 'keseorangan' dalam mengendalikan kerja-kerja harian.

Dibantu kedua-dua isterinya, Jamilah Shahir, 43, dan Suzrina Mohd. Sabri, 34, Mastar memberitahu, dia pastinya ditemani mereka ketika menguruskan segala kerja yang berkaitan dengan perniagaan.

Bukan itu sahaja, kejayaan Mastar Catering hari ini juga adalah hasil sokongan dan dedikasi anak-anaknya, Noor Shafika, 23; Noor Sakinah, 22; Noor Shahira, 19; Noor Syazwani, 17; dan Fahrul Zaman, 12.

Bertemu dengan isteri pertamanya, Jamilah, dia memberitahu, sudah menjadi tugasnya sejak dahulu untuk mengikut suaminya menguruskan perniagaan mereka.

Ini kerana, ujar Jamilah, perniagaan yang mereka usahakan memerlukan komitmen yang tinggi selain perlu mengutarakan pendapat agar dapat memenuhi permintaan para pelanggan.

Pada masa yang sama, Jamilah turut menyatakan penglibatan mereka adalah untuk bersama-sama mengharungi cabaran. Mereka berpendapat, berniaga makanan sememangnya bidang yang cukup mencabar, apatah lagi jika tidak berbekalkan kesungguhan, semangat, komitmen, dan pengorbanan yang besar.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk mengembangkan potensi perniagaan kami ini kepada sesuatu yang lebih komersial dan berdaya maju.

"Bermula dengan katering, dan sudah pasti kami inginkan sesuatu yang lebih daripada hari ini.

"Disebabkan itu jugalah penglibatan kesemua ahli keluarga dalam perniagaan ini amat bermakna sekali," ujar Jamilah ketika ditemui di kediamannya di Taman Impian Ehsan, Serdang, Selangor.

Berbicara lanjut, Mastar atau lebih popular dalam kalangan pelanggan dan rakan-rakan rapat sebagai Wak Mastar menjelaskan, perniagaannya turut disertai anak-anak.

Selain memberikan sentuhan orang muda kepada perniagaan tersebut, penglibatan mereka juga bertujuan memberi pendedahan kepada anak-anaknya mengenai perniagaan keluarga yang telah diusahakan sejak tahun 1990-an.

Mastar turut turun padang bersama pekerja menyiapkan hidangan katering yang ditempah.

"Semua anak-anak sememangnya didedahkan dengan perniagaan keluarga. Ini kerana satu hari nanti merekalah yang bakal mewarisinya.

"Pada masa yang sama, secara tidak langsung juga dapat 'memodenkan' perniagaan ini selain mempelbagaikan lagi produk sedia ada.

"Alhamdulillah, setakat hari ini kesemuanya tahu tugas masing-masing yang perlu diuruskan," ujar Mastar lagi.

Dalam usaha memantapkan lagi ilmu yang dipilih oleh anak-anak, Mastar memastikan ia ada kaitan dengan bidang yang dilakukannya hari ini.

Ini dapat dilihat apabila anak pertama dan ketiga mengambil jurusan kulinari, pastri dan bakeri manakala anak keduanya mengambil jurusan perakaunan.

Jika disingkap kembali penglibatannya dalam bidang katering, segalanya bermula dengan perniagaan makanan di kantin Sekolah Menengah Alam Shah, di Kuala Lumpur sekitar awal 1980-an.

Ketika itu, Mastar tidak terfikir mampu mengorak langkah ke perniagaan katering secara besar-besaran seperti hari ini.

Yang pasti, berkat usaha gigih bersama isteri-isteri dan anak-anak tercinta, Mastar Catering menjadi sebutan sebagai antara penyedia hidangan paling lazat di pasaran ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, Mastar Catering tidak akan berjaya jika bukan kerana hasil usaha mereka mengetengahkan resipi nasi lemak kukus daun pisang.

Hari ini, selain dilihat sebagai penyedia makanan untuk apa jua majlis, Mastar tidak meminggirkan produk sulongnya itu.

Dia masih mengusahakan nasi lemak kukus yang begitu popular di pasar malam Taman Impian Ehsan, Cheras Perdana dan Seri Nanding.

Pun begitu ulas Mastar, untuk mendapatkan resipi memasak hidangan tradisi Melayu kegemaran ramai bukanlah perkara mudah.

Pasangan suami isteri ini memeriksa tempahan yang dibuat melalui media sosial Facebook.

Menurutnya, dia sendiri mengambil masa beberapa tahun untuk memperbaiki resipi yang dipelajari daripada kakak-kakaknya, Juriah, dan Misirah, yang sememangnya pakar dalam bidang memasak.

Adat berniaga pasti ada pasang dan surut. Situasi ini tidak terkecuali bagi Mastar. Bagaimanapun segala-galanya dihadapi dengan tabah dan sabar.

Ternyata, berkat kesabaran dan muafakat antara ahli keluarga, kini Mastar Catering tidak putus-putus menerima tempahan sepanjang tahun untuk pelbagai jenis majlis terutama perkahwinan dan pertunangan.

"Insya-Allah, jika ada rezeki kami akan menjadikan Mastar Catering sebagai satu pusat sehenti bagi bakal-bakal pengantin mendapatkan produk perkahwinan.

"Ini termasuklah busana pengantin, fotografi pengantin dan juga kelengkapan untuk majlis perkahwinan," tambahnya.

Hari ini Mastar Catering menawarkan hidangan yang cukup enak seperti sambal sotong kering, rendang ala Mastar, rendang Palembang, ayam masak merah, ayam percik, ayam golek dan kambing bakar atau panggang. Segala-galanya adalah mengikut tempahan pelanggan.

Kelebihan perkhidmatan Mastar Catering ialah turut menyediakan hidangan lebih jika berlaku kekurangan dan mampu mengambil tempahan pada saat-saat akhir.

Ini kerana mereka beroperasi 24 jam setiap hari, dan sememangnya sentiasa menyimpan stok nasi dan ayam untuk membantu tuan rumah yang menghadapi masalah tempahan, penyaji lari atau apa sahaja.

Tempahan dibuka untuk penduduk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sama ada majlis perkahwinan, bertunang, akad nikah, rumah terbuka Aidilfitri, makan malam, hari keluarga, kenduri kesyukuran, majlis hari jadi, mesyuarat dan seminar.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, boleh hubungi talian 016-672 5543 (Wak) atau 017-8812241 (Sakinah) atau layari media sosial facebook Mastar Catering.

Dalam pada itu, Mastar Catering merupakan salah satu panel penaja bagi Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Keempat anjuran Utusan Malaysia.

Menurut Mastar, pihaknya berbesar hati menaja sajian makanan bagi pemenang peraduan itu.

No comments: