Wednesday, March 13, 2013

Ekuiti Melayu Dalam Ekonomi Negara Lebih 30 Peratus Jika Diambil Kira GLC

SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata pencapaian ekuiti Bumiputera dalam bidang ekonomi negara sudah melepasi 30 peratus jika pencapaian syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diambil kira.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=933998
Published: March 13, 2013

Beliau berkata penglibatan GLC dalam ekonomi sejajar dengan agenda Melayu kerana ia melibatkan ramai golongan profesional Melayu walaupun pada masa yang sama syarikat-syarikat ini juga mengambil pekerja-pekerja bangsa lain.

"Kalau ada skandal (dalam GLC) bukan kerana Melayu atau kaum, tetapi kerana perasaan tamak. Anak-anak Melayu yang bekerja di sana (GLC) ada kaliber," katanya dalam Bicara Minda dan Sesi Dialog "Survival Ekonomi Melayu" anjuran sebuah akhbar tempatan di sini Selasa.

Beliau berkata pada zaman Tun Abdul Razak Hussein, perbadanan kemajuan negeri ditubuhkan, dan berikutan kurangnya golongan korporat Melayu pada ketika itu, bekas pegawai kanan kerajaan diambil untuk mengendalikannya.

Musa berkata ada antara GLC yang tidak berjaya dan ditutup kerajaan kerana tidak membuat keuntungan selepas 10 tahun ditubuhkan.

Bagaimanapun hari ini, beliau berbangga dengan pencapaian GLC di mana Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merupakan antara GLC yang telah melebarkan sayapnya dalam bidang hartanah seperti projek pembangunan semula stesen jana kuasa Battersea di London.

Bahkan GLC seperti Sime Darby telah beroperasi di 20 negara di rantau Eropah, Asia dan Afrika yang mempunyai pentadbiran korporat yang ketat dan Sime Darby berjaya melaksanakannya.

Musa juga berkata beliau tidak bersetuju jika ada pihak yang mengatakan ekonomi orang Melayu tidak boleh bertahan, namun tidak menafikan masih terdapat jurang antara Melayu dan bukan Melayu dalam sektor-sektor tertentu.

Oleh itu, beliau berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) harus disesuaikan dengan keadaan semasa dengan menganalisis sektor-sektor yang kurang penglibatan Melayu dan diberi penekanan agar kekurangan itu dapat diseimbangkan.

Beliau juga berkata sudah menjadi lumrah manusia mempunyai perasaan prejudis terhadap bangsa lain, contohnya dalam pengambilan pekerja, namun orang Melayu boleh mengatasi masalah ini dengan mempamerkan kebolehan mereka.

Musa berkongsi pengalaman beliau semasa bekerja dalam sektor swasta apabila mendapat kenaikan gaji RM1,000 setahun setelah berjaya menjual produk-produk baharu di pasaran pada masa itu.

Beliau berkata orang Melayu sepatutnya malu pada diri sendiri apabila memegang jawatan itu hanya kerana dia seorang Melayu, sebaliknya berbangga kerana memegang sesuatu jawatan itu disebabkan mereka bagus dan layak.

Musa berkata semasa berada di luar negara, beliau bertemu usahawan Malaysia yang berjaya, seperti ahli botani Melayu yang berjaya menghasilkan dan menjual benih pokok bunga yang boleh bertahan dalam cuaca panas di Dubai atas hasil usaha mereka sendiri dengan rangkaian jaringan dengan rakan-rakan dari luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata untuk mengubah minda orang Melayu supaya tidak terlalu bergantung kepada tongkat dan subsidi dari Kerajaan mengambil masa yang lama kerana ia juga bergantung kepada kepimpinan politik.

"Pada saya inferioriti kompleks boleh berubah jika pemimpin tidak salah gunakan isu perkauman. Dahulu dan baru ini, bagi saya pemimpin yang gunakan isu perkauman dalam politik adalah ahli politik yang bankrap, saya minta maaf," katanya.

Banyak perkara yang boleh dijadikan modal politik selain isu perkauman, katanya.

Musa berkata pada tahun 1969 ketika rusuhan kaum berlaku pada 13 Mei, beliau menang bertanding di Segamat yang pengundi majoritinya kaum Cina.

Ditanya mengenai pandangan beliau mengenai pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, beliau berkata isu ini memerlukan kajian mendalam kerana ia bukan peperangan biasa tetapi perang psikologi kerana ia melibatkan masyarakat Sulu yang telah lama berada di Sabah dan apa yang kerajaan akan lakukan terhadap mereka.

Ia akan menjadi perkara negatif jika setiap keturunan Sulu di Sabah dianggap sebagai musuh, katanya

-- BERNAMA 

No comments: