Sunday, March 24, 2013

Alliance Bank Raih Anugerah Di Korea Selatan, Singapura

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Alliance Bank (M) Bhd dipilih sebagai 'Bank Perusahaan Kecil sederhana (PKS) Terbaik' di Asia Pasifik, rantau Teluk dan Afrika bagi 2013 oleh The Asian Banker pada majlis Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Perkhidmatan Kewangan Runcit 2013.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=936677
Published: March 24, 2013

Dalam satu kenyataan di sini Jumaat, Alliance Bank berkata majlis anugerah tersebut berlangsung di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Ketua Perbankan Perniagaan Kumpulan Steve Miller berkata Alliance Bank berbangga menjadi bank Malaysia yang menerima pengiktirafan dengan anugerah antarabangsa bagi perbankan PKS.

"Pencapaian ini tidak akan diperoleh tanpa sokongan kukuh daripada pelanggan kami, rakan kongsi perniagaan dan kakitangan Alliance Bank," kata beliau dan menambah bahawa anugerah berkenaan membuktikan strategi perniagaannya, berdasarkan kepada pengurusan hubungan pelanggan yang proaktif, program kukuh model risiko pinjaman dan pembangunan produk inovatif, membolehkan bank berbeza dalam segmen PKS Malaysia.

The Asian Banker merupakan penyedia risiko perniagaan strategik bagi industri perkhidmatan kewangan dan kecemerlangan dalam program perkhidmatan kewangan runcit dimulakan pada 2001 untuk mengiktiraf usaha cemerlang di kalangan institusi kewnangan runcit di rantau ini.

Bagi anugerah 2013, lebih 160 institusi kewangan runcit dari negara-negara di Asia Pasifik, Asia Tengah, rantau Teluk dan Afrika dinilai secara terperinci oleh The Asian Banker bersama-sama panel hakim antarabangsa.

Hanya seminggu lalu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Alliance Bank Raymond Leung mewakili bank pada majlis anugerah Perbankan dan Pembayaran Asia Trailblazer 2013 di Singapura dan menerima dua anugerah, iaitu Kecemerlangan dalam Perbankan PKS dan Penyedia Perkhidmatan Cemerlang Secara Maya.

Alliance Bank Alliance Bank (M) Bhd merupakan kumpulan perbankan bersepadu yang menawarkan penyelesaian kewangan dan perbankan hujung ke hujung melalui perbankan penggunanya, perbankan perniagaan, perbankan Islam, perbankan pelaburan dan perniagaan broker saham serta pengurusan aset dan unit amanah, memberi perkhidmatan kepada komuniti kewangan lebih lima dekad.

-- BERNAMA

No comments: