Friday, May 24, 2013

Produk Halal Cetus Fenomena Pengeluaran Pelbagai Produk Di Seluruh Dunia

KUALA TERENGGANU, 23 Mei (Bernama) -- Pensijilan halal serta kesedaran pengguna di negara ini dan penduduk dunia mencetus fenomena, menyebabkan banyak syarikat berlumba untuk mengisytiharkan produk dan perkhidmatan mereka halal dan bersih.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=951815
Published: May 24, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Negeri Roslee Daud berkata permintaan produk halal yang semakin meningkat dengan penyebaran maklumat lebih meluas, mewujudkan masyarakat Terengganu yang peka serta berpengetahuan luas berkaitan status sesuatu produk yang ditawarkan.

"Untuk maklumat semua, nilai pasaran produk halal seluruh dunia dianggarkan melebihi US$2.1 trilion setahun. Anggaran ini dibuat dengan mengambil kira sektor utama seperti makanan dan minuman, farmaseutikal, daging mentah, nutraseutikal serta konfeksional.

"Maka sewajarnya industri halal yang lumayan dan dinamik perlu diteroka oleh usahawan bumiputera secara serius dan agresif. Justeru, saya menyarankan agar usahawan bumiputera tidak melepaskan peluang dengan mengambil kesempatan untuk mempromosi dan seterusnya mengembangkan jaringan perniagaan mereka dengan lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Seminar Keusahawanan dan Kepenggunaan Halal Negeri Terengganu 2013. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu Azmi Razik.

Roslee berkata Terengganu sebenarnya mempunyai kelebihan yang amat ketara untuk menjadi peneraju pengeluaran produk dan perkhidmatan halal di negara ini.

Beliau berkata pendekatan Terengganu adalah lebih holistik bagi membangunkan sebuah ekosistem halal kerana memiliki sumber kewangan bagi pembiayaan produk dan perkhidmatan halal kepada usahawan yang bebas daripada riba serta mengikut konsep pembiayaan Islam sepenuhnya.

"Kita juga mempunyai pengusaha serta usahawan bumiputera muslim yang berpotensi tinggi dan berkeupayaan untuk mengeluarkan produk dan perkhidmatan halal.

"Selain itu, bahan mentah yang halal dan bersih juga mudah diperoleh di sini dengan cara pengendalian yang mematuhi hukum syarak sepenuhnya," katanya.

Roslee berkata sebagai sebuah negeri dengan penduduk Islam yang ramai, Terengganu tidak sepatutnya bergantung kepada negara luar untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan halal.

Beliau berkata selain memenuhi keperluan dalam negara, terdapat lebih daripada 1.8 bilion penduduk beragama Islam di dunia yang merupakan pasaran berpotensi untuk ditembusi pengeluar negeri ini.

Katanya, usahawan berkenaan mesti menjadi peneraju dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan halal untuk ditawar kepada pengguna di pasaran tempatan dan seterusnya berkembang sehingga peringkat antarabangsa.

Roslee berkata selain aspek perniagaan, usahawan juga sebenarnya menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah untuk menawarkan produk halal dan terbaik kepada umat Islam.

"Justeru, saya berharap semua usahawan yang terlibat dalam seminar ini mampu berusaha menghasilkan produk halal yang mampu menembusi pasaran lebih luas.

"Kita perlu berani, agresif, inovatif dan kreatif untuk mencipta dan mengambil peluang yang ada permintaan tidak terhad dan persaingan yang tiada penghujungnya," katanya sambil menambah kerajaan sentiasa komited dalam membantu melonjakkan usahawan bumiputera ke peringkat global.

-- BERNAMA 

No comments: