Thursday, May 23, 2013

Mosti Akan Kaji Cara Komersilkan Produk, Lahir Lebih Ramai Usahawan Tekno

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan mengkaji cara-cara untuk menggalakkan lebih banyak pengkomersilan produk yang dihasilkan secara inovatif oleh pereka tempatan, kata Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Md Diah.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berisokonganusahawanwanita/Article/index_html
Published: May 23, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=951556
Published: May 23, 2013

Beliau berkata kementerian itu juga merancang melatih lebih ramai usahawan tekno yang bukan sahaja tahu mencipta tetapi juga mengkomersilkan dan memasarkan rekaan mereka.

Beliau berkata meskipun Malaysia banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains, teknologi dan inovasi dan daya saingnya juga diiktiraf antarabangsa, produk-produk itu tidak diterjemahkan kepada nilai komersil.

"Saya rasa itu perlu diberi tumpuan sekarang. Saya akan mencadangkan kepada menteri saya tentang isu ini. Tidak ada gunanya kita mencipta terlalu banyak produk dan dipatenkan tetapi tidak ada wang yang masuk.

"Produk-produk itu akhirnya tersadai begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Ulang Tahun Kelima Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa bagi Kerjasama Selatan-Selatan (ISTIC), dekat sini, Rabu.

Abu Bakar berkata sebagai contoh, Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2012-13 telah menyenaraikan Malaysia di kedudukan ke-23 daripada 144 negara, dan di tempat ke-28 bagi kualiti Institusi Penyelidikan Saintifik dan ke-34 bagi nisbah paten bagi setiap penduduknya.

Beliau berkata kaji selidik Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) bagi daya saing 59 ekonomi yang dikeluarkan pada 2011 menyenaraikan Malaysia di tempat ke-35 dalam pembiayaan R&D swasta sebagai peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan kedudukan ke-38 dalam jumlah perbelanjaan KDNK bagi R&D.

Sementara itu, Abu Bakar berkata kementerian tersebut berharap dapat meningkatkan kurikulum sains teknologi dan inovasi dalam sistem pendidikan nasional dan menyasar memupuk minat jangka panjang dalam kalangan pelajar sekolah terhadap bidang itu.

Beliau berkata ketika ini nisbah 40:60 sains kepada bukan sains dalam kurikulum sekolah kebangsaan tidak mencukupi.

Usaha-usaha untuk merapatkan jurang pengetahuan sains, teknologi dan inovasi antara pelajar di kawasan luar bandar dan bandar juga perlu dipertingkatkan, katanya.

-- BERNAMA

No comments: