JOHOR BAHRU 14 Mei - Cinta dan minatnya terhadap kek dan pastri bermula sejak kecil. Boleh dikatakan, saban hari ibunya membekalkan roti atau kek buatan sendiri sebagai bekal untuk dinikmati pada waktu rehat pada zaman persekolahannya.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130516/wj_03/Bisnes-kek-secara-online
Published: May 16, 2013
Azward Aziz bersama sebahagian daripada pelbagai jenis kek
yang sedia ditempah oleh pelanggan secara online.
Keadaan itu secara tidak langsung menanam minat dalam diri Azward Aziz, 32, mempelajari ilmu pembuatan kek dan pastri daripada ibunya, Paridah Parman yang juga mewarisi bakat neneknya, Fatimah Hassan.
Sejak itu, dia bertekad memiliki perniagaan sendiri selepas dewasa kelak dan akhirnya impian pemegang Diploma Hotel & Katering Institut Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur berkenaan hampir tercapai sepenuhnya.
Menurutnya, untuk memiliki perusahaan sendiri, tidak ada jalan singkat, malah perlu berusaha gigih bagi merealisasikannya.
Saya telah bekerja di beberapa buah hotel terkemuka di Kuala Lumpur termasuk yang bertaraf lima bintang dan berpeluang menjalani latihan di sebuah hotel di Amerika Syarikat. Dari situ, saya timba pelbagai pengalaman dan pengetahuan sebagai persiapan bergelar usahawan.
Alhamdulillah, setelah bersedia akhirnya pada September tahun lalu, saya berhenti kerja dan memberi fokus terhadap penubuhan perniagaan kek dan pastri yang saya impikan sejak sekian lama," ceritanya yang kini boleh berbangga sebagai pemilik Hello Bakerz Bakery & Cake (Hello Bakerz).
Pada permulaan, perniagaannya beroperasi di rumah ibu angkatnya, Aminah Ahmad di Kampung Setanggi di sini, dan menerima tempahan daripada kenalan rapat dan sanak-saudara.
Ekoran respons positif dan memberangsangkan, Azward menerima tempahan antara 30 hingga 40 biji kek sebulan selain puluhan lagi tempahan produk pastri.
Ibu saya, Paridah adalah sifu yang banyak memberi tunjuk ajar dan petua berguna kepada saya. Ibu banyak membantu saya menyiapkan tempahan yang diterima jika saya tidak menang tangan.
Kini, saya sedang berusaha membuka kedai kek dan insya-Allah tidak lama lagi impian itu akan tercapai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bagi mempromosikan produknya, Azward menggunakan sepenuh kemudahan media baharu terutamanya laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya.
Dia mengakui promosi menerusi medium online itu amat membantu dalam merancakkan lagi transaksi perniagaan Hello Bakerz.
Menurutnya, antara produk yang mendapat pesanan tinggi daripada pelanggan ialah kek Red Velvet, Rainbow, Chocolate Moist, Cheesy Snow, Tiramisu, Pavlova, Durian Crepe dan puding karamel.
Setiap hasil kerja saya akan dimuat naik ke laman sosial dan ini adalah salah satu teknik mempromosikannya. Syukur, promosi itu berjaya menarik perhatian lebih ramai pelanggan untuk berurus niaga dengan Hello Bakerz.
Saya juga sering memberi diskaun untuk beberapa produk terpilih bagi menambat hati pelanggan," katanya.
Azward menjelaskan, harga produk yang ditawarkan juga setara dengan kualiti yang dihasilkan dalam pelbagai saiz supaya memberi lebih pilihan kepada pelanggan.
Saya sentiasa memastikan kek yang dibakar mencapai standardnya melalui respons daripada setiap pelanggan. Tapi saya akui, tidak semua orang itu sempurna dan sesekali terdapat juga produk saya yang tidak menepati cita rasa pelanggan.
Ini saya jadikan sebagai pendorong memperbaiki kelemahan yang ada dan saya amat berbangga dengan pencapaian pada hari ini," katanya yang turut mengedarkan produknya ke beberapa restoran di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Untuk tempahan, para pelanggan boleh menghubungi 019-7676113 atau mengikuti laman Facebooknya, Hello Bakerz Bakery & Cakes.
Selain itu, beliau turut menjalankan operasi di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang.
No comments:
Post a Comment