Monday, May 20, 2013

Pekan Jabi jadi hab sate

BESUT 19 Mei - Pekan Jabi yang cukup dikenali sebagai lokasi menikmati juadah sate di kalangan penggemar makanan tradisi itu bakal dimajukan sebagai hab sate di negeri ini selain menjadikannya sebagai satu lagi tarikan pelancongan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130520/wt_01/Pekan-Jabi-jadi-hab-sate
Published: May 20, 2013

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, keenakan produk yang kini diusahakan oleh lima pengusaha di pekan itu akan dijenamakan bagi membolehkan produk dikomersialkan secara lebih meluas.

Katanya, untuk tujuan itu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan diminta membantu pengusaha supaya keluaran masing-masing dapat dipromosi dan di bawah satu jenama dan meningkatkan nilai komersialnya.

"Jenama 'Sate Jabi' dicadangkan untuk digunakan oleh pengusaha berkenaan supaya secara tidak langsung dapat mengetengah dan mempromosikan Jabi sebagai lokasi yang menjadi pilihan jika ingin menikmati keenakan sate sebenar selain tarikan alam di sini.

"Secara tidak langsung ini akan membantu pengusaha meningkatkan pendapatan," katanya kepada pemberita selepas menziarahi beberapa penduduk yang uzur akibat penyakit kronik bersama isterinya, Dr. Norasmawati Wahab di Kampung Apal dekat sini, semalam.

Selain itu, katanya, sejajar dengan pelan pembangunan Pekan Jabi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah Majlis Daerah Besut (MDB) satu lokasi sesuai akan dibangunkan bagi membina bangunan komersial untuk perniagaan sate.

Katanya, selain kemudahan bangunan untuk perniagaan, akan ada kemudahan yang sesuai dibina khusus untuk pengunjung seperti surau, kawasan letak kenderaan, taman permainan serta premis perniagaan lain.

Ini jelasnya, akan membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang perusahaan sate ditempatkan di satu lokasi yang sesuai supaya mudah dikunjungi.

No comments: