Monday, May 13, 2013

Rancang tambah pelabur runcit

KUALA LUMPUR 10 Mei - Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) merancang untuk meningkatkan jumlah pelabur runcit di negara ini dengan menganjurkan program kesedaran pelaburan kepada golongan muda dan profesional.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130511/ek_01/Rancang-tambah-pelabur-runcit
Published: May 13, 2013


Norizam Tukiman (kiri) menjawab soalan pemberita mengenai 
pelabur tempatan di Kuala Lumpur

Presidennya, Norizam Tukiman berkata, nisbah pelabur runcit perlu dipertingkat memandangkan bursa tempatan ketika ini didominasi oleh pelabur institusi.

"Kami mahu menggalakkan lebih ramai golongan muda menjadi pelabur runcit dan memahami selok-belok prestasi syarikat-syarikat di Bursa Malaysia.

"Dengan itu, kami bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia Johor yang akan menganjurkan Ekspo Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia 2013 di Johor Bharu minggu depan," katanya semasa sidang akhbar mengumumkan acara tersebut.

Menurut Norizam, promosi yang lemah serta kurangnya pengetahuan mengenai pelaburan modal menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak berminat untuk melabur sebagai pelabur runcit, sebaliknya memilih untuk melabur dalam dana amanah sahaja.

Dengan itu, ekspo pelaburan yang bakal diadakan pada 17 hingga 19 Mei ini akan menggabungkan dua segmen utama iaitu pelaburan am dan pelaburan di pasaran saham.

Bagi segmen pelaburan am, pihak penganjur menjemput peneraju dana-dana amanah antaranya Permodalan Hartanah Bhd., BIMB Investment Bhd. dan ASM Investment Bhd. untuk memberi penerangan kepada pengunjung.

Bagi segmen pelaburan saham pula, terdapat ramai remiser dan wakil peniaga berpengalaman yang bersedia untuk membantu orang ramai mendapatkan maklumat proses jual beli saham dengan tepat.

"Kami mahu para pelabur dan bakal pelabur memahami bahawa prestasi pasaran saham ditentukan oleh faktor-faktor fundamental dan bukannya sentimen, jadi mereka tidak perlu takut untuk melabur asalkan memahami asas-asas syarikat yang mahu dilabur," katanya lagi.

Ekspo Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia 2013 akan berlangsung di Persada Johor, Johor Bharu.

No comments: