PADANG TERAP 20 Mei - Minat yang mendalam terhadap haiwan membuatkan seorang jurutera yang berasal dari Kampung Semeliang, Kuala Nerang di sini memberanikan diri untuk menternak rusa secara komersial walaupun pada awal, usahanya diragui dan dicemuh banyak pihak.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130521/wu_05/Jurutera-jadi-penternak-rusa
Published: May 21, 2013
Kata-kata cemuhan seperti 'ada ke orang nak makan daging rusa', 'berapa lama nak bertahan' dan pelbagai lagi kata-kata negatif yang dilemparkan menjadi penguat semangat bagi membuktikan rusa juga boleh diternak secara komersial seperti lembu dan kambing.
Kini setelah lebih lima tahun terlibat dalam bidang penternakan rusa, Nor Azhar Mohd. Noor, 41, mampu tersenyum bangga apabila usahanya kini membuahkan hasil bahkan pusat ternakan rusanya juga secara tidak langsung mempopularkan Kampung Semeliang kepada penduduk luar.
Bermula dengan tiga ekor rusa yang dibela di belakang rumah ibunya, kini rusanya dari baka Timoresis dan Axis berkembang biak sehingga 150 ekor dan dibela dalam tiga kandang yang berkeluasan tujuh ekar.
Nor Azhar memberitahu, pada 2006 sebelum membela rusa, dia membela kambing sebagai hobi kerana ingin lari sebentar daripada tekanan kerja sebagai jurutera, tambahan pula dia memang berminat terhadap haiwan sejak kecil.
"Selepas itu, saya berjumpa dengan seorang rakan yang turut membela kambing serta rusa di dalam kandangnya di Pokok Sena dan dari situlah mula timbul minat saya terhadap rusa.
"Kemudian saya beli tiga ekor rusa daripada rakan dan mendapati rusa adalah haiwan liar eksotik yang mudah dijaga, tahan lasak terhadap penyakit dan tidak cerewet dalam soal pemakanan.
"Bayangkan sewaktu banjir besar melanda pada 2010, rusa ternakan saya berada di dalam air selama dua hari, namun haiwan ini tidak mati, hanya empat ekor anak rusa mati akibat dihanyutkan arus.
"Selepas memperoleh keyakinan untuk membela lebih banyak rusa, saya buat keputusan untuk menternak haiwan itu secara komersial pada 2008 dan sehingga kini, saya belum jemu membela haiwan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Semeliang, Kuala Nerang, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, antara sebab lain yang membuatkannya terpanggil untuk membela rusa ialah kurangnya minat orang ramai untuk menternak haiwan di negeri ini walaupun kerajaan telah memperkenalkannya sebagai haiwan ternakan komersial sejak tahun 1980-an.
"Di Kedah sewaktu saya mula-mula mahu menternak rusa hanya ada beberapa penternak sahaja yang membelanya dan saya terpaksa berusaha sendiri untuk mencari ilmu pengetahuan tentang penternakan haiwan tersebut.
"Sekarang ada lebih 30 penternak rusa di Kedah, hasil tunjuk ajar daripada saya dan kami sama-sama berganding bahu memajukan bidang penternakan haiwan ini," ujarnya.
Nor Azhar yang masih bekerja sebagai jurutera secara sambilan memberitahu, rasa daging rusa yang enak, kaya dengan protein serta rendah lemak dan kolesterol menjadikan daging haiwan itu sentiasa menjadi buruan penggemarnya.
Jelasnya, bekalan daging rusa sentiasa tidak mencukupi ekoran permintaan tinggi dan dia tidak dapat memenuhi kehendak pasaran pada musim perayaan, cuti sekolah dan kenduri.
"Saya berhasrat untuk membesarkan perniagaan ini dengan menubuhkan pusat latihan ternakan sebab mahu melihat lebih ramai penternak di negara ini kerana rusa merupakan haiwan eksotik yang istimewa.
"Saya bersedia untuk membantu mereka yang berminat untuk menternak rusa dengan sedikit ilmu yang saya ada," katanya.
Kepada sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang ternakan rusa, boleh hubungi Nor Azhar Mohd. Noor menerusi 012-4089689.
No comments:
Post a Comment