Monday, May 20, 2013

Industri batik tempatan diyakini terus berkembang maju

KOTA BHARU 19 Mei - Batik Malaysia bukan sahaja berjaya mengekalkan ciri-ciri keasliannya walaupun berhadapan dengan peredaran zaman, malah ia berupaya menambat hati masyarakat luar sehingga mendapat tempat di persada antarabangsa.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130520/ek_02/Industri-batik-tempatan-diyakini-terus-berkembang-maju
Published: May 20, 2013

Sejak berabad batik dikategorikan sebagai fabrik mewah, anggun, tahan daya pakai serta selesa dipakai dalam semua acara dan musim.

Kini, bisnes batik juga semakin berkembang maju berbanding dahulu dan siapa sangka batik yang sinonim dengan kain basahan dan baju kurung mampu menjadi pakaian moden.

Pengurus Nordin Batik, Azlinda Nordin, 37, berkata, pembuatan batik masih bertahan sehingga kini kerana terdapat pelbagai produk yang dihasilkan daripada batik.

"Batik boleh dikomersialkan lagi terutamanya untuk majlis rasmi mahupun kasual. Pakaian seperti kemeja, blaus, baju T, seluar pendek untuk pelbagai peringkat umur juga dapat dihasilkan," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Azlinda, pada musim cuti sekolah, permintaan terhadap batik meningkat berbanding hari biasa kerana pada waktu itu kakitangan kerajaan berpeluang membawa anak-anak ke butiknya untuk membeli belah.

Di samping itu, kata beliau, usaha dilakukan pihak Tourism Malaysia memperkenalkan produk batik kepada pelancong luar turut merancakkan lagi industri berkenaan.

"Pelancong luar sering menjadikan batik sebagai buah tangan kepada kawan-kawan dan keluarga untuk dibawa pulang ke negeri masing-masing," katanya.

Azlinda berkata, industri batik tempatan dijangka terus berkembang selari dengan perkembangan fesyen semasa dan kebijaksanaan pereka fesyen menghasilkan pakaian dan produk lain bermotifkan batik.

"Harga batik di sini antara RM10 hingga RM900. Namun batik juga boleh mencecah RM1,000 jika kain yang digunakan berkualiti dan corak yang dilukis pula eksklusif," katanya.

Azlinda berharap, industri dan perusahaan batik akan terus bertahan kerana ia juga cukup sinonim dengan orang Melayu.

Sementara itu, seorang pencanting batik, Rosita Derahman, 39, mengakui perkembangan industri batik turut membantu pencanting batik sepertinya meraih pendapatan lebih lumayan berbanding enam tahun lalu.

"Jika dahulu saya hanya mendapat pendapatan sekitar RM500, tetapi dengan perkembangan industri batik tempatan, saya mampu memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan," katanya.

No comments: