Thursday, May 16, 2013

Industri batik tempatan diyakini terus berkembang

KOTA BHARU 15 Mei - Batik Malaysia bukan sahaja berjaya mengekalkan ciri-ciri keasliannya walaupun berhadapan dengan peredaran zaman, malah berupaya menambat hati masyarakat luar dan mendapat tempat di persada antarabangsa.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130516/wt_03/Industri-batik-tempatan-diyakini-terus-berkembang
Published: May 16, 2013


SEORANG pembantu kedai menunjukkan kemeja batik yang 
terdapat di butik Nordin Batik di Kota Bharu

Sejak berabad lamanya, batik dikategorikan sebagai fabrik mewah, anggun, tahan daya pakai serta selesa dipakai dalam semua acara.

Kini, bisnes batik juga semakin berkembang maju berbanding dahulu dan siapa sangka batik yang sinonim dengan kain basahan dan baju kurung kini mampu menjadi pakaian moden.

Pengurus Nordin Batik, Azlinda Nordin, 37, berkata, pembuatan batik masih bertahan sehingga kini kerana terdapat pelbagai produk yang dihasilkan daripada bahan tersebut.

"Batik boleh dikomersialkan lagi terutamanya untuk majlis rasmi mahupun kasual. Pakaian seperti kemeja, blaus, baju T, seluar pendek untuk pelbagai peringkat umur juga dapat dihasilkan," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Azlinda, usaha dilakukan pihak Tourism Malaysia memperkenalkan produk batik kepada pelancong luar turut merancakkan industri itu.

"Pelancong luar sering menjadikan batik sebagai buah tangan kepada kawan-kawan dan keluarga di negeri masing-masing," katanya.

Azlinda berkata, industri batik tempatan dijangka terus maju melihat kepada perkembangan fesyen semasa dan kebijaksanaan pereka menghasilkan pakaian dan produk lain bermotifkan batik.

"Harga batik di butik ini antara RM10 dan RM900. Namun, batik juga boleh mencecah RM1,000 jika kain yang digunakan berkualiti dan corak yang dilukis pula eksklusif," katanya.

Azlinda berharap industri dan perusahaan batik akan terus bertahan kerana kewujudannya cukup sinonim dengan orang Melayu.

Sementara itu, seorang pencanting batik, Rosita Derahman, 39, mengakui perkembangan industri batik membantunya meraih pendapatan lebih lumayan berbanding enam tahun lalu.

"Jika dahulu saya hanya mendapat pendapatan sekitar RM500, tetapi dengan perkembangan industri batik tempatan, saya mampu memperoleh lebih RM1,000 sebulan," katanya.

No comments: