Sunday, May 19, 2013

Kunjungan Obama Beri Pengiktirafan Kepada Ekonomi Malaysia, Kata Komuniti Perniagaan

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kunjungan Barack Obama ke negara ini sempena Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013 keempat pada Oktober memberi pengiktirafan kepada Malaysia yang kedudukan ekonominya berada pada tahap yang kukuh, kata Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Mohamad Sahar Mat Din.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130518/ek_06/Kunjungan-Obama-beri-pengiktirafan-kepada-Malaysia
Published: May 19, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=950481
Published: May 19, 2013

Katanya, kunjungan Presiden Amerika Syarikat itu juga akan meningkatkan keyakinan pelabur terutama dari negara maju itu sendiri yang akan merancakkan aktiviti dagangan antara kedua-dua negara.

"Maknanya satu pengiktirafan (sebagai) satu ekonomi yang bagus, faedahnya akan merancakkan ekonomi kita, tetapi yang paling penting usahawan kita kena mengambil peluang ini untuk menjalin kerjasama dengan pihak Amerika Syarikat," katanya di sini.

Obama dijangka menghadiri GES 2013 keempat di Kuala Lumpur pada 11 Oktober, yang akan menandakan lawatan pertama beliau ke Malaysia.

GES adalah susulan kepada komitmen Obama yang menekankan kepada kepentingan keusahawanan di negara-negara dengan majoriti orang Islam seluruh dunia.

Sidang kemuncak dua hari itu yang bertemakan, "Empowering and Connecting Entrepreneurs" (Memperkasakan dan Ketersambungan Usahawan), akan dianjurkan oleh Kementerian Kewangan.

Mohamad Sahar turut berpendapat sistem ekonomi Islam wajar diketengahkan melalui persidangan itu yang dilihat sebagai medium berkesan untuk menangani kegawatan atau krisis ekonomi dunia.

"Sistem ekonomi Islam berkeupayaan untuk diketengahkan pada peringkat global dan Malaysia harus menjuarai dalam konteks ini seperti sistem ekonomi yang berasaskan Wakaf Korporat," katanya. - BERNAMA

No comments: