KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kajian yang dijalankan oleh Regus
Plc, penyedia tempat kerja fleksibel terbesar di dunia, menunjukkan 90
peratus usahawan Malaysia mahu menjalankan semula perniagaan mereka jika
diberikan peluang.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=950233
Published: May 17, 2013
Dalam satu kenyataan, Regus berkata walaupun menghadapi cabaran serius,
perniagaan mikro dan kecil tempatan menunjukkan semangat keusahawanan
yang tidak berbelah-bahagi walaupun ada dalam kalangan mereka mungkin
membuka syarikat walaupun tidak perlu.
"Cabaran yang mereka hadapi bukan baharu, namun mereka jelas
menyatakan mereka tidak dapat banyak faedah daripada inisiatif sokongan
walaupun kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk mereka," kata
Pengarah Serantau Regus bagi Asia Pasifik John Henderson.
Henderson merujuk kepada hasil kajian yang menyalahkan kurangnya akses
kepada kredit (82 peratus) sebagai penghalang terbesar membuka
perniagaan, diikuti karenah birokrasi atau peraturan ketat (71 peratus),
kurangnya sokongan kerajaan (66 peratus), dan dominasi pasaran oleh
perbadanan lebih besar (59 peratus).
Dua pertiga responden juga menyatakan kedudukan ekonomi merupakan penghalang utama.
Henderson berkata kurangnya sokongan institusi bermakna pemilik
perniagaan akan terus memilih untuk bekerja secara fleksibel bagi
mengelak pajakan yang panjang, mencairkan modal kerja dan menumpukan
kepada mengembangkan perniagaan.
"Di peringkat global kini lebih separuh usahawan menggunakan lokasi
kerja fleksibel bagi sebahagian besar tempoh dalam seminggu, berbanding
39 peratus bagi mereka yang tidak memiliki perniagaan," katanya.
Sementara itu, Bharat Srinivasan, Pengarah Urusan penyedia risikan
mudah alih Carrier iQ Inc, berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
merupakan enjin pertumbuhan, menyumbang sehingga 99 peratus perniagaan
dan 40-50 peratus keluaran dalam negara kasar.
Di peringkat global, 50 peratus daripada semua projek dijalankan oleh
PKS walaupun mereka menerima bahagian kecil daripada keseluruhan
pelaburan," katanya.
"Itu sebabnya komuniti keusahawanan dan PKS kebiasaannya menjana
pertumbuhan semasa kelembapan ekonomi, manakala syarikat besar mencari
perlindungan," katanya.
Bagaimanapun katanya sokongan kerajaan masih diperlukan bagi
memaksimumkan potensi PKS dan tanpanya beberapa perniagaan mungkin
tinggal untuk memaksimumkan operasi atau lebih buruk lagi gulung tikar.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment