Thursday, June 21, 2012

Penggunaan ICT lonjak PKS

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PenggunaanICTlonjakPKS/Article

Published: on 21 Jun 2012

 JOHAN  (kanan) bersama  (dari kiri) Abdul Jalil, Amrin, Nik Gee, Teh dan  Kang pada majlis jamuan tengah hari  di Petaling Jaya, semalam.  
JOHAN (kanan) bersama (dari kiri) Abdul Jalil, Amrin, 
Nik Gee, Teh dan Kang pada majlis jamuan tengah hari 
di Petaling Jaya, semalam.

Sumbangan 42 peratus KDNK mampu dicapai menerusi transformasi

PERSATUAN Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMI Malaysia) yakin sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menyumbang 42 peratus kepada nilai ekonomi negara menjelang 2020 hasil gerak kerja penjenamaan semula dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Syarikat PKS yang ditakrifkan menerusi bilangan pekerja tidak melebihi 150 dan pendapatan kurang RM20 juta setahun, kini menyumbang kira-kira 32 peratus kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini.
Kita perlu mengajak peserta sektor ini mengguna pakai ICT, kaedah pembungkusan lebih baik dan menjenama semula produk mereka supaya mempunyai nilai lebih tinggi di pasaran. - Teh Kee Sin, Presiden Kebangsaan SMI Malaysia
Ini berbanding sehingga 60 peratus di negara maju.

Ketika ini, kira-kira 90 peratus daripada syarikat di Malaysia ditakrifkan sebagai PKS dengan menyediakan 59 peratus daripada peluang pekerjaan.

Presiden Kebangsaan SMI Malaysia, Teh Kee Sin, berkata pihaknya merumus rancangan penjenamaan semula PKS dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk dengan kumpulan media terbesar, Media Prima Bhd (MPB).

Beliau berkata, SMI Malaysia mahu lebih 5,000 ahlinya untuk beralih daripada beroperasi secara konvensional dengan produk murah kepada rantaian produk bernilai tinggi.
“Kita perlu mengajak peserta sektor ini untuk mengguna pakai ICT, kaedah pembungkusan lebih baik dan menjenama semula produk mereka supaya mempunyai nilai lebih tinggi di pasaran.

“Kita perlu beralih kepada ICT termasuk untuk memasarkan produk. Kini didapati lebih 60 peratus daripada syarikat PKS tidak mempunyai laman sesawang sendiri selain masalah biasa, kekangan kewangan,” katanya selepas jamuan tengah hari dengan pengurusan MPB di Petaling Jaya, semalam.

Kee Sin bersama kira-kira 20 jawatankuasa persatuan itu diraikan pengurusan MPB diketuai Pengerusinya, Datuk Johan Jaafar.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohamad Ariff Ibrahim dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid; Timbalan Presiden Kebangsaan SMI Malaysia, Michael Kang dan Pengerusi Kebajikan SMI, Datuk Nik Gee.

Mengulas lanjut, Kee Sin berkata, dengan bimbingan dan kerjasama kerajaan, syarikat PKS akan dibawa mengikut jejak transformasi, keluar daripada zon selesa dan menjadi lebih inovatif.

Syarikat PKS juga akan digalakkan meneroka pasaran baru terutama di Asia Pasifik yang kurang terjejas oleh krisis ekonomi berbanding pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat, tambahnya.

Sementara itu, Johan berkata, PKS yang memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negara perlu mengukuhkan penjenamaan mereka dengan memanfaatkan Kumpulan MPB yang mempunyai capaian kepada lebih 24 juta orang setiap hari menerusi saluran televisyen, radio, akhbar, media alternatif dan iklan luar.

“MPB mempunyai banyak wadah untuk membantu PKS memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka. Kita perlu bekerjasama kerana kumpulan kami dengan lebih 4,600 kakitangan, mempunyai bakat yang menyeluruh dan saluran untuk mengketengahkan keperluan setiap syarikat PKS,” katanya.

Amrin pula berkata, MPB dan SMI Malaysia membentuk sebuah jawatankuasa pemandu untuk mengadakan seminar tidak lama lagi bagi membuka jalan kedua-dua pihak merumus kerjasama lebih erat untuk manfaat bersama.

No comments: