Monday, June 18, 2012

Khidmat IBFIM berlandas syariah

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/khidmat-ibfim-berlandas-syariah-1.57523

Published: on 18 Jun 2012
Wartawan Sinar Harian

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM Datuk Dr Adnan Alias.
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM Datuk Dr Adnan Alias.

Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) bertekad meningkatkan usaha memberi perkhidmatan kepada sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) yang semakin pesat membangun di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, perbankan itu berkata, peningkatan kesedaran dalam kewangan Islam terutama kepada sektor IKS secara langsung meningkatkan permintaan kepada perkhidmatan dan produk kewangan yang patuh syariah selaras matlamat Malaysia menjadi hub kewangan Islam antarabangsa.

"IBFIM diberi mandat penting oleh Bank Negara Malaysia menyediakan latihan profesional dan teknikal kewangan Islam,"katanya.

Menurutnya, kesedaran usahawan terutama usahawan bumiputera beralih arah dari produk biasa kepada produk kewangan patuh syariah merancakkan lagi usaha IBFIM dalam menyediakan lebih banyak masa membantu golongan ini dalam bidang latihan dan runding cara perniagaan.

Katanya, antara faktor utama kesedaran untuk beralih arah ini berlaku adalah disebabkan kebanyakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam baik dari segi mutu, harga, ketelusan dan seterusnya tidak bercampur dengan aktiviti yang bercanggah dengan perkara yang tidak bermoral seperti judi dan riba.

"Malah, laporan menunjukkan 60 peratus daripada pelanggan yang melanggan perkhidmatan dan produk perbankan Islam terdiri daripada  bukan Islam,"katanya.

“Kepentingan tenaga kerja dan sumbangan IKS kepada pembangunan negara memang besar lebih-lebih lagi dalam mentransformasi menjadi negara berpendapatan tinggi.

IBFIM percaya mutu dan daya  saing modal perniagaan IKS dapat dipertingkatkan.

“IBFIM, dengan pengalaman  utuh dalam sektor perundingan syariah dan perniagaan Islam mampu menjadi rakan kongsi strategik bukan sahaja dalam memastikan produk dan perkhidmatan IKS memenuhi selera pasaran tetapi menjadi organisasi global terbaik lagi menguntungkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM Datuk Dr Adnan Alias.

Setakat ini peranan IBFIM telah mendapat pujian pelbagai pihak. Sokongan padu yang berterusan oleh BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta pemain-pemain industri kewangan Islam meletakkan IBFIM setapak lebih tinggi
berbanding institusi yang seangkatan dengan mereka.

Kini, IBFIM dikenali ramai pihak sebagai salah satu daripada pusat rujukan utama usahawan bumiputera untuk mengaplikasi kewangan Islam dalam aktiviti perniagaan mereka.

IBFIM akan menemui komuniti IKS pada 20 hingga 22 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bersempena pameran inovasi perusahaan kecil dan sederhana (SMIDEX 2012) . Untuk keterangan lanjut, layari www.ibfim.com.

No comments: