Monday, June 18, 2012

Bantu perluas niaga

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bantuperluasniaga/Article/index_html

Published: on 18 Jun 2012

MEMPUNYAI laman web penting terutama bagi usahawan yang berhasrat mengembangkan perniagaan merentasi sempadan.
Namun, masih banyak perniagaan di Malaysia hari ini tiada laman web sekali gus menyukarkan orang ramai mendapatkan maklumat dengan carian lebih pantas.
Peranan Google Malaysia menerusi program Get Malaysian Business Online (GMBO) dilihat inisiatif terbaik bagi memberi peluang usahawan memiliki laman web perniagaan dengan cara cepat, mudah dan berkesan.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Bisnes Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri bersama Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof mengenai GMBO.


APAKAH GMBO?

GMBO adalah program diperkenalkan Google Malaysia yang kong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), My Domain Registry dan ITrain untuk membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mewujudkan laman web perniagaan sendiri. GMBO juga inisiatif baru dalam usaha membantu lebih banyak syarikat di negara ini membawa perniagaan mereka ke arena Internet selain melonjakkan dunia ekosistem perniagaan atas talian di seluruh Malaysia.

Mengapa GMBO diperkenalkan?

Data SME Corp memperlihatkan daripada lebih 700,000 PKS di Malaysia, hanya 100,000 mempunyai laman web dan kegagalan perniagaan tidak menggunakan Internet disebabkan beberapa perkara, antaranya faktor kos yang dikatakan mahal, tiada kepakaran dan terlalu sukar atau tidak mempunyai masa untuk menguruskannya.

Sedangkan 17.5 juta rakyat Malaysia menggunakan Internet untuk membuat carian sama ada bagi maklumat atau perkhidmatan.

Disebabkan itu Google Malaysia melancarkan GMBO yang bukan saja dapat memberi kelebihan kepada PKS, tetapi memudahkan pencarian produk dikehendaki pengguna.

Bagaimanakah GMBO dapat membantu perniagaan PKS berkembang?

GMBO menawarkan peserta program laman web percuma, termasuk nama domain serta hosting (untuk 10,000 pendaftaran pertama) dan melalui GMBO juga peniaga di Malaysia tanpa sebarang pembabitan atau pengalaman di dunia Internet hanya perlukan masa kurang sehari (berasaskan pengesahan domain) untuk membangunkan laman web sendiri seterusnya sedia beroperasi tanpa sebarang masalah mahupun perkara tersembunyi.

Kami mahu membantu mereka berjaya dengan memastikan setiap perniagaan mempunyai laman web supaya boleh mula merealisasikan potensi sebenar Internet.

Program GMBO juga hanya mengambil sehari untuk membolehkan PKS membina laman web sendiri dan sedia beroperasi tanpa sebarang masalah selain mendapat sokongan pembelajaran daripada tenaga pengajar berpengalaman ITrain Sdn Bhd.

Apakah sasaran program GMBO untuk masa akan datang?

Tujuan GMBO adalah membantu sekurang-kurangnya 50,000 syarikat tempatan membina laman web sendiri dan memastikannya aktif dalam tempoh setahun pertama.

Sebanyak 10,000 PKS pertama yang berdaftar juga mendapat semuanya percuma, termasuk nama domain dan hosting untuk tahun pertama.

Pembaharuan tahunan turut diberikan pada kadar diskaun iaitu hanya RM23 setahun. Google sendiri juga melaburkan sehingga RM10 juta untuk program sepanjang tahun termasuk pengiklanan percuma.

Program ini komitmen jangka panjang Google untuk Malaysia dan kami berharap membawa kebaikan kepada semua pihak. Malah, untuk inisiatif ini, Google turut sama membangunkan platform dinamakan Business SiteBuilder, aplikasi percuma yang membolehkan laman web perniagaan dibangunkan dengan mudah serta pada masa sama memastikan ia mesra peranti mudah alih termasuk telefon pintar.

Business SiteBuilder direka bentuk untuk mengatasi pelbagai masalah dihadapi PKS dalam membangunkan dan menguruskan laman web mereka serta menawarkannya secara percuma kepada semua.

Malaysia negara pertama dalam rantau ini yang mendapat akses kemudahan ini.

Bagaimana cara menyertai program GMBO ini?

Kami akan menjalankan latihan GMBO di beberapa lokasi utama seluruh negara termasuk di Malaysia Timur dan berharap dapat membantu PKS tempatan dalam menggunakan potensi meluas yang dibawakan Internet.

Manakala untuk membina laman web, semua perniagaan di Sabah dan Sarawak melayari laman GMBO iaitu www.getMYbusinessonline.com.my dan memasukkan maklumat perniagaan seperti nombor lesen, nombor telefon perniagaan serta beberapa perkara lain seperti alamat dan masa beroperasi.

Google Malaysia juga memberi tip perniagaan percuma dan pendidikan berterusan serta pengiklanan dalam talian dan penyenaraian di Peta Google.

No comments: