Friday, June 1, 2012

PNB mahu jual FEC Cables kepada usahawan Bumiputera

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PNBmahujualFECCableskepadausahawanBumiputera/Article

Published: on 01 Jun 2012

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) akan menjual syarikat kecil yang bukan dalam bidang pelaburan terasnya iaitu FEC Cables (M) Sdn Bhd (FEC) kepada usahawan Bumiputera yang layak.

Ia adalah pelupusan sulung satu daripada lima syarikat milik PNB bagi memberi peluang kepada syarikat Bumiputera yang berpotensi dan terbukti mempunyai kemampuan untuk mengambil alih dan memajukannya. “Penjualan FEC itu akan dibuat menerusi tender terbuka,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.
FEC, yang kuasai 71.14 peratus saham oleh PNB itu ditubuhkan pada 1967 dengan aktiviti terasnya adalah pengeluaran kabel elektrik dan telekomunikasi.

Sementara itu, anak syarikat milik penuhnya, PNB Capital Holdings Sdn Bhd juga menguasai 20 juta saham keutamaan kumalatif boleh tebus dalam FEC.

FEC memiliki dua kilang iaitu di Klang dan Shah Alam.

Pelanggan utamanya termasuk syarikat tenaga dan telekomunikasi tempatan. Ia juga membekal produknya di pasaran domestik dan eksport.
Kenyataan itu berkata, PNB dijangka membuat pengumuman seterusnya berhubung syarikat dan perniagaan lain dikenal pasti untuk dilupuskan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, ketika ditemui selepas melancarkan khidmat tambahan pelaburan unit amanah ASNB Menerusi affinOnline.Com di Kuala Lumpur, berkata bagi memudahkan proses pelupusan itu, pihaknya sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertanggung jawab mengenal pasti dan menilai mana-mana syarikat Bumiputera berkelayakan yang ingin membuat bidaan membeli syarikat bukan teras yang akan dilupuskan PNB.

Katanya, proses pengiklanan menerusi tender terbuka itu akan dilakukan secara berperingkat bagi setiap syarikat.

Katanya, jawatankuasa bebas itu akan memastikan proses pemilihan dilakukan secara telus dengan menilai pelbagai kriteria sebelum memutuskan syarikat mana yang berkelayakan membeli asetnya itu.

“Sebagai pengurus dana kami sentiasa meninjau mana-mana bahagian yang mempunyai prestasi baik untuk kami perkemas atau tambah (pegangan) namun apabila terdapat syarikat yang kurang membantu dari segi portfolio keseluruhan kumpulan maka kami akan menjualnya sedikit demi sedikit,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Affin Bank Bhd, Datuk Zulkiflee Abbad Abd Hamid; Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Bhd, Datuk Idris Kechot; dan Timbalan Presiden Korporat dan Antarabangsa PNB, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid.

Hamad Kama Piah menegaskan, prestasi PNB tidak akan terjejas dengan penjualan lima syarikat terbabit kerana ia dipilih dari kalangan syarikat bukan teras dan yang tidak menjejaskan keseluruhan portfolio kumpulan.

Katanya, pihaknya juga perlu memastikan persiapan pelupusan aset itu dilaksanakan dengan terancang termasuk memperoleh persetujuan lembaga pengarah masing-masing dan menentukan masa yang sesuai untuk mengumumkannya.

“Kalau boleh kami ingin selesaikan secepat mungkin tapi proses ini membabitkan penelitian dalam pengurusan. Bukan kami mahu melambat-lambatkan proses ini tetapi ingin memberi masa kepada panel untuk berbincang dan memastikan pembabitan jawatankuasa bebas dapat membuat kerja dengan baik dan telus,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Februari lalu mengumumkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan melupuskan aset perniagaan bukan teras miliknya untuk ditadbir atau diserah milik kepada syarikat Bumiputera berpotensi, secara tender terbuka.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata masing-masing lima syarikat bukan teras yang dimiliki kedua-dua konglomerat itu akan dikenal pasti yang sekali gus bertujuan meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi. 

No comments: