Wednesday, June 13, 2012

PKS tumpuan Bajet 2013

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Published: on 13 Jun 2012

KUALA LUMPUR 12 Jun - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan diberi tumpuan utama pada pembentangan Bajet 2013 bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan para pelabur.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed percaya kerajaan akan terus membantu dan menyokong PKS yang merupakan antara sektor pelaburan dan perdagangan utama negara.

''Apa juga yang diperkenalkan kerajaan dalam bajet nanti kita berharap ia akan terus mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan persaraan, 25 tahun dalam perkhidmatan awam dan penganugerahan perkhidmatan cemerlang 2011 kakitangan kementeriannya, di sini hari ini.
Mustafa berkata, pada Bajet 2012 kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif dan program bagi membantu PKS.

''Kita berharap ia akan diteruskan dan lebih banyak program baru dan insentif diperkenalkan bagi membantu perusahaan ini,'' katanya.

Pada masa ini kata beliau, kementerian dan Kementerian Kewangan melalui perundingan yang sedang dijalankan berusaha menambah baik perkembangan PKS.

Dalam pada itu beliau berkata, Malaysia perlu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dengan memastikan bajet berkenaan turut mengambil kira persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan cabaran yang timbul berikutan krisis di Eropah.

''Untuk itu kita perlu memastikan pertumbuhan ekonomi dan komoditi kekal dan saya yakin eksport negara akan mencapai sasaran sekitar lima sehingga enam peratus tahun ini,'' ujar beliau.

Sementara itu, Mustafa memberi jaminan kepada pengusaha PKS bahawa kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak mengenai pelaksanaan Skim Insurans Pengangguran.

Kata beliau, sehingga kini kajian kebolehlaksanaan skim itu belum selesai dan masih di peringkat perbincangan dan perundingan.

''Kita mendapat banyak aduan daripada pengusaha mengenai kebimbangan pelaksanaan skim itu yang mungkin akan memberi kesan dari segi peningkatan kos kepada mereka,'' katanya.

Namun tegas Mustafa, kementerian akan mengumpul semua cadangan mengenai kewajaran pelaksanaan skim itu dalam tempoh tiga bulan sebelum menyerahkannya kepada Kementerian Sumber Manusia.

Kajian tersebut dipantau oleh jawatankuasa projek tiga pihak yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan diwakili Kementerian Sumber Manusia, Persekutuan Majikan Malaysia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

No comments: