Thursday, June 7, 2012

PKS kurang bersedia atasi bencana

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Published: on 07 Jun 2012

KUALA LUMPUR 6 Jun - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan terdedah kepada ancaman bencana namun ia tidak bersedia untuk menghadapi kesan negatif perniagaan, menurut Kaji Selidik Persediaan Bencana PKS 2012.

Kaji selidik yang dilakukan oleh Symantec Corp. mendapati PKS di Malaysia terdedah kepada bahaya bencana alam dengan banjir merupakan ancaman tertinggi yang melibatkan dua pertiga daripada PKS sepanjang 12 bulan yang lalu.

Selain banjir, bencana lain yang kerap dihadapi sepanjang 12 bulan yang lalu melibatkan kehilangan bekalan tenaga, ribut.

Bencana telah menyebabkan purata 12 penutupan sistem komputer dengan purata lima jam tempoh berhenti bagi setiap penutupan.

Faktor yang menghalang tahap persediaan PKS telah mengakibatkan kerugian yang memberi kesan kepada hasil dan produktiviti apabila gangguan perniagaan berlaku.

Perunding Utama Symantec Rantau Asia Selatan, Nigel Tan berkata, organisasi di Malaysia telah mengalami beberapa bencana dalam beberapa tahun yang lalu yang mengakibatkan gangguan perniagaan.
''Bencana ini sukar untuk diramalkan dan akan terus berlaku akibat bencana alam, kesilapan manusia atau kegagalan sistem IT.

''PKS tidak mampu menanggung risiko kehilangan data perniagaan penting seperti rekod pelanggan, butiran kad kredit atau fail peribadi,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Tambah Tan, penemuan kaji selidik Symantec menunjukkan trend yang konsisten dalam persediaan pemulihan bencana yang lemah di kalangan PKS di Malaysia.

''Kami mengesyorkan agar PKS mengambil langkah perancangan yang mudah bagi melindungi maklumat mereka sekiranya berlaku bencana.
''Ini dapat membantu mereka memastikan hasil serta reputasi mereka tidak terjejas akibat sesuatu yang tidak diduga berlaku,'' jelasnya.

Kaji selidik ini direka untuk mengetahui kesan terhadap PKS daripada bencana baru-baru ini, tahap persediaan pada masa akan datang serta faktor yang mengehadkan tahap persediaan bencana.
Ia berdasarkan maklum balas daripada 2,053 buah organisasi PKS di 30 buah negara di seluruh dunia, termasuk 100 responden dari Malaysia.

Sementara itu, Perunding Teknikal Kanan Symantec Malaysia, Koh Ee Laine berkata, PKS di Malaysia kini menjadi semakin kompetitif di pasaran tempatan dan global di mana pemulihan bencana dan kesinambungan perniagaan menjadi faktor utama untuk berada di hadapan pesaing.

''Memiliki pelan persediaan bencana merupakan langkah permulaan penting yang perlu diambil oleh pemilik PKS dan seterusnya diikuti oleh para pekerja mereka,'' katanya.

Sementara itu, Symantec mendapati walaupun terdedah kepada bencana, hampir tiga perempat (73 peratus) daripada responden Malaysia berkata bahawa mereka tidak bersedia untuk menghadapi bencana pada masa akan datang.

Ketiadaan amalan asas menunjukkan kekurangan ini hanya 14 peratus daripada PKS mempunyai pelan pemulihan bencana, dan sebahagian besar (74 peratus) membuat sandaran data mereka kurang daripada sekali seminggu.

Para responden kaji selidik di Malaysia meletakkan kekurangan persediaan kepada beberapa faktor, di mana 40 peratus menyatakan bajet yang tidak mencukupi dan kekurangan sumber manakala 30 peratus menyebut kurang minat daripada pihak pengurusan syarikat.

Selain itu, 20 peratus menyebut kekurangan kemahiran dan mereka tidak tahu bahawa mereka perlu mempunyai pelan persediaan bencana.

No comments: