Wednesday, June 27, 2012

PKS disyor rebut peluang e-dagang

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PKSdisyorrebutpeluange-dagang/Article/index_html

Published: on 27 Jun 2012

SME Corp Malaysia menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya menceburi bidang e-dagang memandangkan tempat pasaran elektronik itu mempunyai jangkauan yang lebih besar berbanding tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, e-pasaran membolehkan firma mencapai pelanggan yang lebih berpotensi, menyebabkan peningkatan dalam bilangan pesaing, di samping menghapus halangan geografi.

“Salah satu kelebihan e-dagang ialah syarikat kecil dapat bersaing dengan firma lebih besar dari segi kualiti dan akses,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Multimedia Prospect Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh ManagePay System Bhd, dan Bpost International di Kuala Lumpur, semalam.

“Kajian yang dilaksanakan Google baru-baru ini mendedahkan Internet menyumbang 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar di Malaysia, lebih tinggi daripada di Amerika Syarikat (3.8 peratus) dan China (2.6 peratus).

“Kajian MDeC juga mendedahkan penggunaan pembayaran dalam talian PKS masih pada peringkat awal, hanya 11 peratus responden menggunakan kemudahan pembayaran dalam talian, dengan perbankan dalam talian menjadi pilihan paling popular, diikuti bayaran kad kredit,” kata beliau sambil menambah bahawa kos yang tinggi dan kekurangan kemudahan serta kemahiran adalah halangan bagi PKS menjalankan perniagaan dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ManagePay, Chew Chee Seng berkata, perjanjian itu membuka jalan bagi ManagePay memanfaatkan kepakaran dan infrastruktur Bpost International untuk menyerahkan bungkusan merentas sempadan e-peniaga di Malaysia ke destinasi di Eropah pada masa yang tepat, dalam keadaan baik dan cekap dari segi kos. - Bernama

No comments: