Wednesday, June 27, 2012

Ikhlas mahu jawatankuasa khas tangani isu peniaga asing

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/ikhlas-mahu-jawatankuasa-khas-tangani-isu-peniaga-asing-1.61024

Published: on 27 Jun 2012

PUTRAJAYA - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) meminta kerajaan menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas membanteras kebanjiran peniaga asing di  negara ini terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa kebanjiran peniaga berkenaan terus meningkat di sekitar ibu kota Kuala Lumpur yang telah menjejaskan peluang perniagaan peniaga tempatan.

Katanya, masalah itu sudah mencapai tahap membimbangkan berikutan dakwaan penyelewengan dan tidak seriusnya pegawai penguatkuasa imigresen, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikatakan cuba melindungi peniaga asing tersebut secara membantu mendapatkan lesen perniagaan.

"Ikhlas mendapati kebanjiran peniaga asing ini telah mengancam keselamatan negara selain menyekat 'periuk nasi' peniaga tempatan. Justeru, Ikhlas meminta Perdana Menteri  menubuhkan jawatankuasa khas untuk banteras peniaga asing di negara ini khususnya di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Mohd Ridzuan berkata demikian kepada pemberita sebelum mengetuai kira-kira 200 peniaga Kuala Lumpur menyerahkan memorandum kepada pegawai khas Perdana Menteri, Datuk  Ghazali Ibrahim, di sini hari ini.

Ikhlas mendakwa lebih 80 peratus peniaga asing menguasai perniagaan di Chow Kit, Lebuh Ampang, Pasar Seni, Pasar Keramat, Pasar Besar Kuala Lumpur, Masjid India, Petaling Street dan Segambut melalui bantuan dan pertolongan pegawai-pegawai penguatkuasa.

Pada 7 Jun, persatuan itu menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta suruhanjaya itu menyiasat perkara tersebut.

Mohd Ridzuan berkata jumlah warga asing menjalankan aktiviti tidak sah di negara ini semakin meningkat, di mana 15,389 warga asing ditahan oleh pihak imigresen sejak Oktober lalu hingga 15 Jun, hasil daripada 4,770 operasi di jalankan di seluruh negara.

Katanya, bagi tempoh tersebut seramai 15,389 warga asing ditahan, 2,412 orang telah didakwa di mahkamah, 2,359 orang dihantar semula ke negara asal, 1,020 orang dikenakan  kompaun dan 4,205 orang masih dalam siasatan.

"Dalam tempoh tersebut sebanyak 173 operasi dijalankan di Kuala Lumpur dan 189 operasi di Putrajaya. Bermakna bagi sebulan 45 kali operasi dibuat di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Oleh itu kita harap Perdana Menteri memberi perhatian serius terhadap isu ini," katanya. - Bernama

No comments: