Monday, June 18, 2012

Bimbing usahawan dari mula

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bimbing-usahawan-dari-mula-1.57274

Published: on 18 Jun 2012
Wartawan Sinar Harian

Bimbing usahawan dari mula
Peserta tekun ikuti seminar PNB anjuran Abim 
cawangan Melaka di Tengkera, Melaka.

MELAKA - Ramai dalam kalangan masyarakat sebenarnya berhasrat membuka perniagaan dan menjadi usahawan, namun tidak ramai tahu bagaimana mahu memulakannya hingga menghalang cita cita jadi kenyataan.

Namun, halangan itu dapat ditempuhi jika benar-benar tekad selain berusaha dapatkan ilmu mulakan dan mengekalkan perniagaan yang dibina.

Justeru, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) cawangan Melaka terpanggil menganjurkan seminar dengan kerjasama Pemodalan Nasional Berhad (PNB) di Tengkera sebagai satu usaha menyediakan platform baru kepada individu yang berminat dalam keusahawanan.

Pengarah Projek, Suhaimi Mohamed Saaid berkata, Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan Mentor Mentee itu juga dapat kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan sebuah
syarikat latihan, Helimate Resources Sdn Bhd.

“Terdapat tiga masalah yang sering dihadapi usahawan dan bakal usahawan iaitu modal tidak mencukupi, kurangnya latihan dan tiada mentor sebagai pembimbing babitkan pelaburan dalam perniagaan.

“Oleh itu, melalui program mentor mentee yang diadakan ini diharap dapat bantu peserta selesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, beberapa peserta beri respons positif terhadap seminar tersebut.

Pelajar GiatMara Kota Melaka, Kastura Zakaria, 28, berkata, ini merupakan kali kedua mengikuti seminar PNB yang mendedahkan perancangan kewangan, namun penyertaannya kali ini lebih fokus kepada pelaburan dalam bidang keusahawanan.

“Melalui seminar ini saya tahu bagaimana mulakan perniagaan dan pendedahan peluang perniagaan melalui pelaburan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya.

Mazelin Rahman, 27, pula berkata, pelaburan ASB bantunya mulakan perniagaan bagi peroleh pendapatan sampingan.

“Melalui dividen atau bonus, ia boleh jadi modal memulakan perniagaan,” kata ibu kepada dua orang anak ini.

Manakala, usahawan muda yang menjalankan perkhidmatan baiki dan bekal komputer, elektrik dan elektronik, Mohd Mahyudin Noor Azmi, 23, berkata, seminar itu harus disertai lebih-lebih lagi mereka yang telah punyai perniagaan sendiri bagi mengutip lebih ilmu bagi kekalkan perniagaan yang dijalankan.

No comments: