Monday, June 4, 2012

DDEC jenama 5,000 PKS

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DDECjenama5_000PKS/Article/index_html

Published: on 04 Jun 2012

LANCAR...Abd Rahim (kanan) bersama melancarkan logo dan nama baru DDEC.
LANCAR...Abd Rahim (kanan) bersama melancarkan logo dan nama baru DDEC. 

PUSAT Pembangunan Reka Bentuk (DDEC) yakin dapat membantu 5,000 usahawan menjelang 2015 daripada sudut penjenamaan dan pengkomersialan melalui latihan serta khidmat rundingan yang ditawarkan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Rahim Hassan berkata, setakat ini pihaknya sudahpun membantu membangunkan 1,357 produk PKS dan menyasarkan 600 lagi usahawan yang akan dibantu tahun ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan DDEC akan menawarkan tujuh bidang utama baru dalam Pelan Strategiknya (2011-2015) iaitu penjenamaan, reka bentuk industri, konsultasi reka bentuk, kemudahan infrastruktur reka bentuk, pengurusan majlis, pengiklanan dan reka bentuk hijau.

“DDEC akan bergerak lebih agresif bagi membantu PKS yang kurang berkemampuan untuk membangunkan reka bentuk proses dan jenama produk mereka termasuk mendapatkan paten produk melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Malah, sehingga Mac lalu DDEC membantu 265 usahawan menghasilkan produk berinovasi,” katanya selepas pelancaran logo dan nama baru DDEC di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengerusi Malaysia DDEC, Datuk Md Othman Yusof, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Mara, Yahya Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Mohd Rosdi Ismail.


Sementara itu, Md Othman berkata pelancaran DDEC dilihat memberi peluang kepada organisasi itu untuk mengintai peluang jaringan dengan pusat reka bentuk antarabangsa seperti Korean Institute of Design Promotion, Japan Industrial Design Promotion Centre, Thailand Design Centre dan Hong Kong Design Centre.

No comments: