Thursday, August 1, 2013

TPPA-Malaysia Kecualikan Bidang Kepentingan Komuniti Perniagaan Bumiputera, PKS

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bidang berkepentingan kepada komuniti perniagaan Bumiputera dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah dikeluarkan daripada tawaran Malaysia bagi pemerolehan kerajaan dalam Rundingan Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130801/ek_04/TPPA-Malaysia-utamakan-PKS-dan-bumiputera
Published: August 01, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=967519
Published: August 01, 2013

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata walaupun pasaran pemerolehan kerajaan akan dibuka pada tahap tertentu untuk disertai negara TPP lain, ia akan dilindungi pemegang kepentingan, termasuk bagi memastikan tahap perlindungan yang saksama untuk PKS.

"Had dalam tawaran kami (ia itu nilai bidaan yang dibuka untuk pembidaan syarikat anggota TPP) akan diputuskan dalam perundingan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

MITI berkata kepentingan nasional dan kedaulatan negara akan terus diberikan keutamaan tertinggi dalam memandu pasukan rundingan Malaysia.

Ia berkata walaupun pemimpin TPP sudah menetapkan sasaran Oktober 2013 untuk memuktamadkan rundingan, ia bukanlah tarikh akhir muktamad memandangkan pihak yang terlibat dalam rundingan masih mempunyai banyak isu sensitif yang akan terus dibincangkan.

"TPPA akan dimuktamadkan dengan mengambil kira kepentingan terbaik Malaysia yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Dari segi perusahaan milik negara (SOE) dalam rundingan TPP, Miti berkata Malaysia berhujah bahawa negara-negara mempunyai sistem ekonomi yang berbeza, dengan SOE dan GLC memain peranan penting.

"Bagi Malaysia, SOE atau GLC merupakan alat penting untuk kerajaan merealisasikan matlamat pembangunan dan sosial, dan merupakan pemangkin penting dalam memajukan sektor yang dianggap strategik, yang tidak menarik pembabitan komersil.

"Untuk menjayakannya, sokongan diperlukan terutama apabila ketiadaan insentif komersil," katanya.

Kementerian berkata Malaysia mahukan fleksibiliti dalam perjanjian yang membolehkan penyertaan berterusan entiti terbabit dalam ekonomi dan menyediakan perkhidmatan dan barangan awam dan sosial.

Mengenai hak harta intelek, Miti berkata antara kebimbangan utama berkisar kepada akses kepada perubatan dan penjagaan kesihatan yang mampu ditanggung selain perlindungan jangka panjang yang mungkin melewatkan pengeluaran ubat-ubatan generik.

"Malaysia yakin keseimbangan dapat dicapai antara melindungi hak syarikat farmaseutikal dan hak penduduk untuk memperoleh ubat-ubatan mampu milik dan Malaysia akan berusaha untuk mencapai keseimbangan itu dalam rundingan TPP," katanya.

MITI menganjurkan Hari Terbuka TPP esok bagi memberikan maklumat terkini kepada media dan orang ramai mengenai isu-isu membabitkan TPP, bagi menjelaskan tanggapan salah mengenainya serta mendengar pandangan ramai.

-- BERNAMA

No comments: