Monday, June 4, 2012

PNS agresif bantu syarikat berpotensi

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PNSagresifbantusyarikatberpotensi/Article

Published: on 04 Jun 2012

pix_gal0



Naik taraf peniaga kecil jadi usahawan francais

PERBADANAN Nasional Bhd (PNS) sedang agresif mengenal pasti syarikat tempatan yang berpotensi termasuk perniagaan kecil untuk dinaikkan taraf dan dibangunkan sebagai francaisor di bawah Program Pemodenan Peruncitan. Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata, ia membabitkan syarikat dalam semua sektor perniagaan yang boleh dikembangkan menerusi sistem francais serta dibantu sehingga ke pasaran antarabangsa.
Pada masa ini, katanya, agensi itu telah membantu membangunkan tiga jenama francais dalam bidang perkhidmatan iaitu kedai jahit moden deCUTZ, bengkel motosikal (Bikerz Pit) serta perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan, Procleaners di bawah program berkenaan.

“PNS telah menubuhkan Unit Pemodenan Peruncitan awal tahun lalu, bagi mengenal pasti dan membimbing syarikat tempatan berpotensi yang mempunyai sekurang-kurangnya rekod akaun baik selama tiga tahun untuk dinaikkan taraf kepada perniagaan moden, sistematik serta memiliki penjenamaan komersial.

“Program ini adalah antara inisiatif kerajaan dalam merealisasikan hasrat Malaysia menjadi hab perniagaan francais, sekali gus membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya ketika ditemui pada Ekspo Perniagaan Malaysia-Indonesia Ke-2 (MIBEX 2012) di Jakarta, semalam.

Ekspo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) dan berakhir semalam itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Syed Kamarulzaman berkata, PNS yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia memperuntukkan dana pembiayaan kira-kira RM50 juta setahun bagi membangunkan usahawan francais tempatan menerusi pelbagai skim termasuk membantu mereka mengembangkan operasi ke luar negara.

“Soal dana bukan menjadi isu kerana PNS mempunyai dana mencukupi bagi menyokong keperluan pembiayaan dan pengembangan syarikat francais tempatan.

“Apa yang penting ialah kami mahu mewujudkan seberapa banyak jenama francais tempatan yang berkualiti yang boleh kita kembangkan dan memberi peluang perniagaan kepada usahawan kecil ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini PNS sudah mengenal pasti sembilan syarikat berpotensi untuk diberikan bimbingan di bawah Program Pemodenan Peruncitan itu, antaranya Ladycar Studio Centre Carwash, Lok Lok King on Wheels, Takzim Textiles dan 5Star Kiosk.

Beliau berkata, syarikat yang dipilih itu akan melalui kursus asas francais serta latihan asas keusahawanan dan jika didapati mereka layak dan sudah benar-benar bersedia untuk menjadi perniagaan francais mereka akan ditawarkan pembiayaan sehingga RM2 juta.

“Program ini dijalankan mengikut Piawaian Prosedur Operasi (SOP) bagi memastikan perkhidmatan dan pengeluaran produk terjamin mutunya,” katanya sambil menambah, ia termasuk memastikan syarikat yang dikenal pasti itu mempunyai pusat pengeluaran, pengedaran dan perkhidmatan logistik yang lebih baik.

Katanya, PNS berharap lebih banyak syarikat khususnya Bumiputera yang mempunyai perniagaan yang berpotensi untuk difrancaiskan tampil bagi membolehkan agensi itu memberi bimbingan, serta pembiayaan bagi pengembangan perniagaan mereka.

Dalam perkembangan lain, MIBEX 2012 telah menarik 31 bakal francaisi dari Indonesia yang berminat memasarkan jenama francais Malaysia di negara berkenaan terutama dalam sektor makanan dan minuman, kesihatan dan pajak gadai Islam membabitkan potensi urus niaga kira-kira RM19 juta.

Program itu disertai 34 syarikat yang terdiri daripada syarikat francais, jualan langsung, gerakan koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu mengembangkan perniagaan mereka di Indonesia.

PNS turut mengadakan sesi pemadanan perniagaan dan sesi forum perniagaan antara Malaysia dan Indonesia bagi membolehkan agensi itu mengenalpasti konsep perniagaan berpotensi yang boleh diperkenalkan di Malaysia. 

No comments: