KUALA LUMPUR 5 Feb. - Pemain industri perbankan dan kewangan Islam perlu aktif mengeluarkan lebih banyak produk yang diberi nilai tambah bagi memenuhi permintaan pengguna, sekali gus merangsang perkembangan industri tersebut.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130206/ek_03/Tingkatkan-nilai-kewangan-Islam
Published: February 07, 2013
Hamad Kama Piah Che Othman (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Profesor Datuk Dr. Muhammad Muda dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia sambil diperhatikan oleh Dr. Zamir Iqbal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Pemegang Kursi Kehormat Tun Ismail Mohamed Ali di Universiti Sains Islam Malaysia dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam, Dr. Zamir Iqbal berkata, pembiayaan perumahan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara produk yang perlu diberi nilai tambah bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Pembiayaan PKS merupakan satu segmen yang sangat penting untuk diberi nilai tambah kerana industri tersebut merupakan enjin pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Sekiranya industri PKS berkembang, ia pastinya memberi pulangan sebenar kepada negara.
"Manakala, pembiayaan rumah pula membolehkan lebih ramai memiliki kediaman sendiri dan kejayaan produk ini telah dibuktikan di Amerika Syarikat. Walaupun masih terdapat kelemahan yang tidak ketara, namun secara umumnya produk tersebut amat berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Potensi Kewangan Islam: Apa yang perlu dilakukan bagi merealisasikannya", di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd., Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Tambah Zamir, selain pemain industri, kerajaan serta badan kawal selia juga perlu memainkan peranan penting dalam perkembangan industri perbankan kewangan.
Katanya, perkara yang paling penting adalah memastikan rangka kerja kawal selia serta kepentingan pengguna diberi fokus utama.
"Aspek perundangan adalah perkara yang utama bagi memastikan pengguna tidak teraniaya dan tertipu, sudah banyak syarikat yang menggunakan jenama perbankan Islam bagaimanapun gagal mengeluarkan produk yang benar-benar menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan," katanya lagi.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai prospek masa hadapan industri tersebut, Zamir berkata, industri perbankan dan kewangan Islam mempunyai prospek yang sangat cerah kerana permintaan terhadap produk-produk yang ditawarkan semakin meningkat.
No comments:
Post a Comment